Syamsul modenkan Gerak Khas


Antara harapan bapa dan minat sendiri, pelakon serta pengarah muda, Syamsul Yusof cuba mengimbangi kedua-duanya sebaik yang mungkin sewaktu 'mengambil alih kerusi' bapanya, Datuk Yusof Haslam dalam siri kepolisian popular, Gerak Khas.

Sesekali raut wajah lelaki bernama Syamsul Yusof kelihatan serius saat mendengar ucapan bapa tercinta, Datuk Yusof Haslam yang galak bercerita tentang sejarah penciptaan siri drama kepolisian popular tanah air, Gerak Khas.

Tatkala namanya disebut, Syamsul tersenyum nipis sambil mengangguk untuk mengiakan amanat Yusof yang dalam nadanya berbaur cukup bangga dengan anak sulungnya itu.

Memikul tanggungjawab sebagai waris sulung kepada pemilik syarikat penerbitan Skop Production Sdn. Bhd., ternyata bukan satu tugasan mudah buat Syamsul.

Malah selama lebih 10 tahun bekerja dalam industri seni tanah air, dia masih menganggap dirinya kerdil untuk mengambil alih tugas bapanya dalam menyambung legasi Gerak Khas.

“Papa (panggilan buat Yusof) meninggalkan satu tahap pengarahan tersendiri dalam Gerak Khas dan penat lelahnya dalam siri itu menjadikan ia sesuatu yang sukar untuk ditandingi.

“Masih banyak yang perlu saya belajar sebelum papa melepaskan harta kesayangannya ini sepenuhnya pada saya. Saya tidak mahu ia sekadar proses pertukaran hak milik anak-beranak tetapi sebagai pengambil alihan mengikut kriteria yang diingini Datuk Yusof Haslam,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media siri drama Gerak Khas 2016 di Pawagam Mini P. Ramle, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur baru-baru ini.


Pujukan menjadi

Gerak Khas 2016 yang bersiaran bermula 4 Mac (hari ini) di TV2 menampilkan wajah-wajah baharu yang jauh lebih muda serta komersial seperti Fattah Amin, Raja Ilya dan Syamsul sendiri.

Setelah hampir 15 tahun, pertukaran kali ini paling drastik dibuat oleh Yusof namun menurut Syamsul, bukan mudah untuk melembutkan hati ‘orang tuanya’ itu.

Sudah terbiasa dengan aturan pelakon lama Gerak Khas sebelum ini, Syamsul terpaksa memujuk bapanya agar lebih terbuka dalam mencorak Gerak Khas alaf baharu.

“Saya faham kerisauan papa andai barisan pelakon Gerak Khas ditukar, ianya akan memberi kesan kepada penonton yang sudah serasi dengan watak-watak yang sudah sebati dalam pemikiran mereka.

“Tetapi saya memberi pandangan secara positif iaitu memberinya suatu perspektif jika mahu menarik minat penonton generasi baharu, maka pelakonnya perlu dalam kalangan umur mereka. Alhamdulillah, sejak setahun lepas papa mula melihat kewajarannya,” kata Syamsul yang turut mengarah beberapa episod dalam siri baru ini dan terlibat hampir sepenuhnya sebagai pelakon.

Dalam masa yang sama, pelakon filem KL Gangster itu sebenarnya mahu bapanya memperlahankan rentak dalam kerjaya kerana sudah terlampau lama bekerja keras untuk keluarga.

Apabila ditanya apakah ciri-ciri yang dilihat pada orang tua itu, mata Syamsul sedikit berkaca dan nafasnya dihela panjang agar tidak jatuh titisan kaca di pipinya.

Syamsul memberitahu, dia tidak pernah melihat bapanya berehat lama daripada melakukan apa-apa pekerjaan. Malah, waktu tidurnya juga hanya dalam lingkungan empat ke lima jam sahaja dalam sehari.

“Papa seorang yang tidak boleh duduk bertenang tanpa melakukan apa-apa. Jika di rumah, pasti ada sahaja yang ingin dilakukannya. Sewaktu saya masuk tidur, dia masih berjaga dan ketika saya belum bangun, papa sudah kembali bekerja.

“Andai tidak disuruh oleh papa untuk mengambil alih Gerak Khas sekalipun, saya sudah meletakkan tanggungjawab itu pada bahu sejak dahulu lagi kerana ia merupakan tanda nama keluarga Yusof Haslam.

“Mungkin sebelum ini saya banyak mengelak untuk terlalu melibatkan diri dalam siri ini kerana mahu mencuba nasib dalam lapangan perfileman terlebih dahulu tetapi Gerak Khas 2016 adalah permulaan terbaik untuk saya perlahan-lahan belajar selok-belok pembikinannya,” ujarnya lagi.

Keluarga dan kerjaya

Tanggal 6 Mac ini akan menandakan genap dua tahun bahtera rumah tangga antara Syamsul dan isteri tercinta, Putri Sarah Liyana namun setakat ini, perkhabaran untuk menerima cahaya mata belum mampu diucapkan pasangan sejoli ini.

Beberapa hari sebelum sidang media Gerak Khas 2106 berlangsung, artikel yang menyatakan Sarah tertekan apabila senantiasa diasak pertanyaan anak telah dikeluarkan.

Ketika pertanyaan serupa diajukan pada Syamsul, dia terdiam seketika. Jauh merenung penuh makna sebelum menjawab soal rezeki anak bukan di tangannya dan dia tidak mampu mengawal mulut orang yang sering bertanya.

“Siapa yang tidak mahukan zuriat tetapi takdir itu hanya Allah yang tentukan. Sarah mungkin merasa tertekan kerana dia wanita, maka perasaannya lebih sensitif.

“Saya terima situasi sekarang dan tidak berasa ia sesuatu yang perlu membebankan fikiran. Doakanlah yang terbaik untuk kami, saya yakin jika Allah mahu berikan kami rezeki itu pasti peluang menjadi ibu bapa akan tiba jua,” katanya sambil tersenyum yakin.

Beralih kepada topik kariernya, Syamsul mengakui jadual hidupnya sekarang semakin padat apabila memegang satu lagi tugas iaitu pemilik bersama butik pakaian yang diusahakan bersama Sarah iaitu Butik Syara di Bangsar.

Masih dalam proses menyesuaikan diri untuk mengimbangi antara keluarga dan kerjaya, Syamsul boleh menarik sedikit nafas lega apabila urusan butik dijaga oleh isterinya membuatkan dia mempunyai lebih ruang bagi kerja pengarahan dan pengurusan.

Seiring dengan pertambahan usia dan juga amanah yang semakin besar, Syamsul melihat dirinya sudah berada di fasa matang dan sudah mula mengambil serius akan masa depan hidupnya.

“Melihatkan papa yang bersungguh-sungguh meletakkan kepercayaan kepada saya untuk meneruskan legasinya dan dikurniakan seorang isteri yang setia di sisi membuatkan saya sedar betapa beruntungnya hidup ini,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

Previous Post Next Post