Tuah kegigihan Fareez


Umrah - Memenangi wang tunai RM100,000, Fareez berhasrat membawa keluarganya menunaikan umrah ke Tanah Suci Mekah sempena sambutan hari jadinya yang ke-18 pada 6 Mei nanti.

Saat nama pemenang pertandingan realiti nyanyian Mentor Milenia diumumkan menjadi milik Fareez Fauzi, bukan sahaja anak muda itu yang tergamam malahan seluruh dewan Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam turut terkesima.

Protege Hazama yang baru mencecah usia 18 tahun itu terduduk di atas pentas sambil air matanya mengalir laju menandakan dia tidak menyangka gelaran juara menjadi miliknya.

Bagi peminat Mentor Milenia, protege yang sering disebut-sebut bakal dijulang sebagai juara adalah Qody, anak didik penyanyi Black yang mempunyai prestasi konsisten sepanjang pertandingan dengan tiga kemenangan mingguan sebelum ini.

“Sebelum keputusan diumumkan, dalam kepala saya hanya terfikirkan satu perkara bahawa hanya akan mendapat tempat kedua. Itu sahaja sudah cukup besar buat saya.

“Sebaik sahaja nama disebut, saya terkejut.Perasaan sebak dan air mata mula mengalir tanpa disedari. Ia sebuah rezeki yang dihadiahkan Allah kepada saya,” ujar Fareez ketika ditemui pada sidang akhbar selepas program berakhir.

Fareez menewaskan dua lagi peserta iaitu Qody (Rossaidi Abd. Rani) dari Kedah dan Wanie (Nurul Syazwanie Mohd. Basri dari Selangor yang merupakan protege kepada Black, sekali gus memenangi wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi penyertaan.

Naib juara jatuh kepada Qody, 21, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi, manakala Wanie, 21, di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi penyertaan.


Tersendiri

Di sebalik kegembiraan tersebut, keputusan dibuat oleh juri profesional yang terdiri daripada Azmeer (ketua juri), Ajai (juri tetap) dan Amy Search (juri jemputan) yang mengangkat Fareez sebagai pemenang menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat.

Jika hendak dibandingkan dengan Qody, pencapaian Fareez sepanjang pertandingan dikatakan tidak menonjol dengan vokal yang tinggi atau nada yang luar biasa hebatnya.

Namun, Fareez mempunyai kekuatan tersendiri. Dia tidak naik ke pentas menyanyi semata-mata demi menewaskan pesaingnya, tetapi mengikut kemampuan sendiri tanpa terlalu memaksa.

“Mungkin pada pendengaran peminat, Fareez tidak mampu bertanding vokal dengan Qody, namun ramai yang tidak sedar, dia tidak banyak melakukan kesilapan ketika menyanyi di pentas akhir.

“Alunan suaranya juga berbeza dengan apa yang sering kita dengar dan jika diikutkan pada pasaran sekarang, Fareez mempunyai peluang lebih besar untuk menawan hati peminat,” kata Azmeer yang menyamakan suara Fareez persis mendiang Broery Marantika.

Pendapat sama diutarakan Ajai yang menjelaskan, pemarkahan yang diberi kepada Fareez adalah berdasarkan kawalan suara dan kesilapan teknik nyanyian yang paling sedikit.

Daripada sudut profesional, bakat yang bagus menurut Ajai, bukan bermakna penyanyi perlu mempunyai vokal bernada tinggi kerana apa yang penting ialah kelunakan suara.

“Menjerit tidak menunjukkan seseorang penyanyi itu bagus, malah sebenarnya lebih berbahaya kerana banyak teknik serta kawalan suara yang perlu ditekankan agar nyanyian tidak sumbang.

“Fareez menyanyi dalam nada yang membuatkan dia selesa dan tidak terlalu mencuba. Di situ keaslian bakatnya terserlah dan oleh sebab itulah dia menjadi pemenang,” katanya.

Peminat jadi protege

Walau apapun yang diperkatakan tentang kemenangan anak buahnya, Hazama tetap percaya terhadap bakat yang ada dalam diri Fareez. Sebagai salah seorang mentor, dia sangat berbangga atas kejayaan Fareez dan Qody pada malam tersebut.

Tidak meletakkan sebarang harapan tinggi terhadap Fareez, Hazama cukup sedar, persaingan yang datang daripada protege Black iaitu Qody dan Wanie sangat sengit. Maka tanpa berselindung, dia memutuskan untuk merendahkan sasaran kepada sekadar naib johan sahaja.

Sewaktu ditanya siapa yang layak menjadi juara, Hazama tidak habis-habis memuji Qody kerana dia mengagumi bakat yang ada pada jejaka tersebut.

“Bukan saya tidak mahu Fareez menang apabila menjawab Qody layak menjadi juara, itu cara saya untuk menghilangkan perasaan terlalu yakin dalam diri. Alhamdulillah, perasaan menang tanpa disangka itu jauh lebih bermakna kerana kami berdua sudah cukup bersyukur dapat bertanding ke peringkat akhir,” katanya yang mengajar Fareez untuk menyanyi dengan ikhlas agar nyanyiannya sampai ke hati pendengar.

Bagi Fareez pula atau nama penuhnya, Muhammad Fareez Hazwan, dia tidak menyangka impiannya untuk berguru dengan Hazama yang menjadi idolanya sejak kecil menjadi kenyataan sehingga mampu menjadi juara Mentor Milenia.

Meminati penyanyi itu sejak di bangku sekolah, Fareez menyifatkan Hazama banyak mengajarnya cara untuk menjadi lebih berdisiplin dan bukan sekadar menyanyi tanpa arah tuju.

“Saya banyak terhutang budi pada Hazama kerana menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk memastikan persembahan terbaik setiap minggu.

“Masih banyak ilmu yang perlu saya tuntut daripada Hazama untuk bertahan dalam industri dan setiap keputusan berkaitan kerjaya kelak pasti akan dirujuk kepadanya terlebih dulu,” ujar Fareez lagi.

Pada pentas akhir tersebut, setiap peserta mendendangkan sebuah lagu medley secara solo, sementara kesempatan kedua pula menyaksikan mentor berpadu suara dengan protege masing-masing menyampaikan lagu medley. Fareez memilih lagu Apokalips dan Aku Juga Manusia untuk tugasan pertama. Pada persembahan kedua pula, dia dan Hazama enyanyikan lagu Drama King dan Hilang Naluri.

Wanie pula menerima pujian yang konsisten pada kedua-dua persembahannya menyampaikan lagu Malam dan Merisik Khabar serta kolaborasi bersama Black untuk medley Tanya Sama Hati dan Tiada Kata Secantik Bahasa.

Qody yang sentiasa menerima sorakan peminat kerana beraksi cemerlang menyanyikan lagu Hanya Namamu dan Jerangkung Dalam Almari bersama Black.

Berbalik kepada penganjuran program kali ini, edisi Mentor Milenia merupakan percubaan pertama TV3 menampilkan format baharu iaitu meletakkan penyanyi muda sebagai mentor kepada bakat-bakat pelapis seiring dengan selera peminat yang gemarkan era penghibur lebih segar.

Previous Post Next Post