Tugasan baharu Amyra, Fattah


SEIMBANG - Biarpun menyifatkan gandingan mereka bersama Fizi untuk membantu semasa mengacara nanti, namun Amyra dan Fattah menegaskan tugas yang digalas mereka semua tetap seimbang.

JELAS terpancar keserasian antara Amyra Rosli dan Fattah Amin saat dipertemukan dalam satu sesi temubual bersama pengacara Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL2016) di Sri Pentas, baru-baru ini.

Melihat sikap saling membantu tatkala satu demi satu persoalan diajukan, maka tidak perlu diragui lagi keputusan pemilihan dua pelakon muda itu sebagai pengacara pada malam kemuncak anugerah DFKL 2016 yang akan berlangsung pada 19 Mac ini.

Biarpun portfolio Amyra dalam dunia pengacaraan baru sahaja bermula, namun peluang keemasan dilamar untuk menggalas tugas itu jelas tidak dipersiakan.

Begitu juga dengan pemilik nama Abdul Fattah Mohd. Amin atau lebih mesra dipanggil Fattah Amin. Tiada pengalaman mengacarakan rancangan mahupun anugerah besar secara langsung bukan penghalang untuknya melebarkan sayap dalam dunia pengacaraan.

Malah, kedua-dua mereka optimis dapat mengemudi anugerah yang bakal berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari Sabtu ini dengan baik. Tidak ketinggalan, mereka juga bakal digandingkan bersama pengacara dan penyampai radio Hot FM, Mohamad Hafizie Roslan atau lebih mesra digelar Fizi.


Amyra sedia dikritik

Diajak berbicara lanjut mengenai peranannya pada malam anugerah DFKL2016, pelakon jelita berusia 25 tahun itu mengakui agak gementar biarpun dia kini sedang mengacarakan program realiti Bintang RTM 2016 yang ditayangkan secara langsung di TV2.

“Terus terang, saya sangat gementar untuk mengacarakan anugerah ini. Pada mulanya saya ingin menolak kerana tidak begitu yakin dengan kebolehan diri. Tetapi setelah difikirkan, saya juga sedang mengacarakan rancangan Bintang RTM 2016, maka saya menerimanya.

“Walaupun mempunyai sedikit pengalaman menjadi pengacara untuk rancangan yang ditayangkan secara langsung di televisyen, tetapi perasaan untuk mengacarakan anugerah DFKL2016 tetap lain. Hal ini kerana DFKL merupakan acara untuk menyampaikan anugerah, manakala Bintang RTM 2016 pula rancangan nyanyian, justeru cara penyampaiannya berbeza,” jelas Amyra panjang lebar.

Cerita pemilik nama Nur Amira Izati Rosli itu lagi, dia menjadikan sesi pengacaraan semasa di pentas Bintang RTM 2016 sebagai pengalaman terbaik buat dirinya untuk berlatih sebagai persiapan menuju ke malam kemuncak itu nanti.

Tutur Amyra, walaupun baru melangkah dalam bidang pengacaraan dan terus diberi kepercayaan untuk meneraju majlis besar, namun dia sudah bersedia untuk dikritik mahupun dipuji setelah tamat majlis itu nanti.

Baginya, segala kritikan itu merupakan asam garam dalam permulaan perjalanan kerjaya sebagai pengacara pula.

“Saya pernah ditanya apa akan jadi sekiranya selepas tamat anugerah nanti saya dikutuk dan dikritik? Saya sudah bersedia menghadapi semua perkara itu.

“Kadangkala, mereka yang mengutuk ini tidak berada di tempat kita dan tidak tahu apa yang kita rasa, jadi saya ketepikan semua kata-kata itu. ini adalah permulaan kerjaya baharu saya, apa yang penting saya tahu perkara yang perlu dilakukan dan banyakkan berlatih,” tegasnya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Amyra kini sibuk menjayakan penggambaran drama Seindah Takdir Cinta yang akan ditayangkan pada Ramadan ini. Dia bergandingan bersama Redza Rosli dan Saharul Ridzwan.

Fattah versatil

Berborak hal sama, Fattah Amin, 26, pula mengakui perasaannya bercampur baur sementara menanti malam kemuncak yang menyaksikan dia berdiri di hadapan kamera sebagai pengacara.

Menyifatkan seseorang selebriti perlu versatil untuk lebih berjaya, maka Fattah menganggap peluang yang diberikan itu sebagai laluan terbaik untuk membuka cabang baru dalam karier seninya.

“Bukan mudah sebenarnya untuk mendapat peluang seperti ini, jadi apabila sudah ditawarkan, saya anggap ia sebagai rezeki saya.

“Dalam masa sama, tawaran mengacara ini juga sebagai cabaran buat saya untuk mencuba bidang baharu. Lagipun, sekarang ini peminat mahu melihat seorang selebriti yang versatil. Selain berlakon, dia juga mempunyai kelebihan untuk menyanyi dan menjadi pengacara,” ungkapnya.

Ditanya tentang jalinan kerjasama antaranya dengan Amyra dan Fizi, Fattah ternyata mudah mencipta keserasian sementelah beberapa kali bertemu dengan mereka semasa menjayakan jelajah DFKL2016.

“Kami banyak berjumpa dalam siri jelajah DFKL di beberapa buah lokasi seperti di Johor Bahru, Alor Setar dan Kuala Lumpur. Pertemuan yang kerap ini memudahkan kami bekerja bersama-sama.

“Gandingan tambahan bersama Fizi pula menjadikan kerja kami lebih mudah. Sebagai senior yang berpengalaman, dia banyak berkongsi ilmu bersama saya dan Amyra, terutamanya bagaimana hendak melontarkan suara dan menaikkan aura sesuatu majlis itu.

“Saya juga sudah mula membuat rujukan sendiri melalui video dalam laman YouTube dan banyak bertanya kepada individu yang berpengalaman dalam industri,” jelasnya yang meletakkan kunci keyakinan sebagai asas utama semasa mengacara nanti.

Sengaja ditanya perkara yang paling ditakuti di atas pentas anugerah itu nanti, sambil tertawa Fattah menjawab, pastinya dia tidak mahu sebarang kesilapan berlaku.

“Apabila sesebuah anugerah itu ditayangkan secara langsung di televisyen, jutaan penonton akan menyaksikannya. Antara perkara utama yang akan saya cuba elakkan nanti seperti tersalah cakap ataupun menerima arahan daripada pengurus pentas.

“Bagaimanapun, dengan keserasian gandingan saya, Amyra dan Fizi nanti, kami akan saling membantu jika berlaku sebarang kesilapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fattah sempat diminta mengulas mengenai carta pergerakan kerjayanya yang dahulunya kurang menyerlah tetapi kini semakin diterima.

Dengan jujur lelaki yang sedang hangat melalui drama Bodyguard itu mengakui dia sedang memperbaiki mutu lakonannya.

“Apabila bercakap mengenai carta pergerakan kerjaya saya, sebenarnya penonton, pengarah termasuk rakan pelakon yang lain lebih layak menilai.

“Memang diakui banyak kelemahan ketika awal pembabitan saya dalam lakonan, namun sehingga kini saya masih memperbaikinya. Alhamdulillah, ramai memberi maklum balas positif mengatakan cara lakonan saya semakin baik,” jelasnya tersenyum.

Fattah kini juga sedang sibuk menjayakan drama Ketupat Palas Mr. Handsome dan dua telemovie untuk tayangan pada Hari Raya Aidilfitri nanti iaitu Hello Mr. Perfect Raya serta Raya Kami.

Sementara itu, DFKL yang sudah memasuki tahun ketiga penganjurannya merupakan anugerah yang mengiktiraf pelakon, pengarah, penulis skrip dan drama yang menjadi pilihan penonton.

Antara sembilan kategori yang dipertandingkan dalam anugerah tersebut adalah Aktor dan Aktres Pilihan, Pengarah Pilihan, Skrip Pilihan, Lagu OST Pilihan, Antagonis Pilihan, Pasangan Pilihan serta Drama dan Drama Pendek Pilihan.

Undian telah dijalankan secara dalam talian melalui laman web rasmi DFKL 2016 iaitu www.dfkl.com.my. dan berakhir pada 6 Mac lepas. Keputusan akan diumumkan secara langsung di TV3 bermula pukul 9 malam pada 19 Mac ini.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »