Tuti Noor enggan layan komen negatif


KEHADIRAN Tuti dalam program AsNTM musim keempat mencetuskan kontroversi dan diperkatakan banyak pihak memandangkan statusnya sebagai satu-satu peserta beragama Islam dalam program pencarian peragawati bertaraf antarabangsa tersebut.

SEKITAR dua minggu lalu, nama peragawati Tuti Noor menjadi bualan hangat selepas diumumkan sebagai salah seorang peserta rancangan pencarian model popular, Asia’s Next Top Model (AsTNM) musim keempat.

Menerusi platform laman sosial Instagram, Tuti atau nama lengkapnya, Nuraini Noor, menerima kecaman dan kritikan hebat kerana menjadi satu-satunya peserta Melayu beragama Islam yang mewakili Malaysia.

Wanita berusia 24 tahun itu dikatakan tidak sensitif terhadap agama dan bakal menjadi ‘penghuni neraka’.

Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pratonton episod pertama AsTNM musim keempat di TGV One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Tuti berkata, dia enggan melayan tohmahan yang dilemparkan orang ramai.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor dalam bidang Pengurusan Maklumat itu berkata, dia mahu terus fokus terhadap sisi positif dalam pertandingan tersebut supaya dapat mengangkat karier peragaannya ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, Tuti turut berkongsi mengenai pengalamannya sepanjang menyertai AsNTM yang mula bersiaran sejak 9 Mac lalu, pukul 9 malam di saluran Starworld dan Starworld HD (Astro 711 dan 722).


ARTISMELETOP!: Boleh kongsikan sedikit mengenai latar belakang anda?

TUTI: Saya dilahirkan di Perak dan merupakan anak tunggal dalam keluarga. Pada tahun 2012, saya berjaya memenangi pertandingan X Top Model Search Malaysia dan mengungguli kategori X Walk dalam pertandingan berkenaan. Selain itu, saya kerap menjayakan editorial fesyen untuk majalah-majalah tempatan.

Selepas diumumkan sebagai salah seorang peserta AsNTM musim keempat, Tuti banyak menerima banyak kecaman dan kritikan daripada pengguna media sosial. Bagaimanakah anda menghadapi situasi tersebut?

Saya lebih senang untuk memberi fokus terhadap perkara positif daripada terus melayan setiap tohmahan dan kritikan. Saya percaya, ini merupakan peluang terbaik untuk mewakili negara dalam sebuah pertandingan yang popular di Asia. Saya mahu dikenali menerusi kerjaya. Sejujurnya, saya berasa sungguh bertuah kerana dikurniakan keluarga, rakan-rakan dan peminat yang sangat memahami.

Bagaimanakah anda berhadapan dengan khalayak yang menyelar cara pemakaian seorang model?

Pakaian merupakan salah satu cabang seni dan seni dihasilkan untuk dihargai. Pada pendapat saya, fesyen tidak menampilkan sisi seksual seseorang. Jika saya tidak selesa untuk menjayakan sesuatu tugasan yang melibatkan cara berpakaian, saya akan memberi pandangan mengenainya.

AsNTM bukan pertandingan pertama anda. Adakah anda pernah menerima kritikan sebelum ini?

Apa yang saya boleh katakan, sejak serius dalam bidang ini sekitar 2012, kenalan dan keluarga begitu memahami dan sering memberikan sokongan kepada saya. Jadi, saya akan gunakan AsNTM sebagai platform untuk mengejar mimpi sebagai seorang peragawati yang berjaya.

Boleh kongsikan sedikit mengenai penglibatan anda dalam AsNTM?

Walaupun saya mempunyai banyak pengalaman dalam bidang peragaan, namun, saya tetap dilayan sama rata oleh juri. Banyak pengalaman yang saya kutip sepanjang menyertai pertandingan tersebut.

Nama anda kini sudah dikenali. Adakah anda terbuka untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan?

Walaupun tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan, tetapi saya teringin untuk cuba bergelar pelakon. Dalam masa yang sama, saya juga tertarik untuk mencuba bidang pengacaraan.

Previous Post Next Post