Wak Doyok Kental Di Media Sosial


Berbekalkan pengikut Instagram yang mencecah 1.1 juta, ikon fesyen antarabangsa, Wak Doyok berjaya membuktikan pengaruhnya dalam industri apabila tersenarai antara calon Anugerah Pilihan Online (APO2016).

Ternyata jejaka dengan nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor itu mendapat sokongan ramai apabila dicalonkan untuk kategori Ikon Fesyen Pilihan Online.

Pencinta fesyen Mods (The Modern Stylish) itu mengakui media sosial menjadi platform terbaik untuknya mendidik masyarakat mengenai perkembangan terkini dunia fesyen lelaki.

"Gambar-gambar yang saya muat naik di Instagram sentiasa menjadi rujukan penggemar.

"Jadi saya akan terus memberi tunjuk ajar kepada mereka yang mempunyai minat yang sama dalam dunia fesyen menerusi medium media sosial," katanya.



Tambah menarik lagi apabila Wak Doyok bakal dicabar model cilik, Muhammad Rizqie Zaidani atau lebih terkenal dengan nama Ikie Coki.

Pencalonan awal ikon fesyen dua generasi ini tentunya bakal mencetuskan fenomena di kalangan pengikut dunia fesyen.

Berdasarkan senarai pencalonan awal, Rizqie, 5, akan bersaing dengan 22 nama besar yang berpengalaman luas dalam dunia fesyen dan peragaan tempatan serta antarabangsa.

Tidak keterlaluan Rizqie boleh dikatakan sebagai trendsetter dunia fesyen kanak-kanak yang sentiasa tampil dengan gaya penuh glamor dan stylo.

Pengaruhnya di media sosial tidak kurang hebatnya apabila setakat ini Rizqie mempunyai seramai 55,000 pengikut di Instagram miliknya iaitu @ikie_coki.

Dengan lagaknya seperti fashionista berpengalaman, Rizqie sentiasa muncul bergaya dengan skinny jeans yang dipadankan bersama kemeja-t dan jaket, berkacama hitam serta rambut yang disisir rapi.



Selain Rizqie dan Wak Doyok, antara selebriti lain yang turut tersenarai dalam pencalonan awal Ikon Fesyen APO 2016 ialah Vivy Yusof, Rozita Che Wan, Nazim Othman, Nur Fazura, Sazzy Falak, Awal Ashaari, Marion Caunter, Neelofa, Bella Alyahya serta Scha Al Yahya.

Pereka fesyen terkenal seperti Jovian Mandagie dan Ezuwan Ismail turut tercalon dalam kategori Ikon Fesyen APO 2016.

Pembaca mStar Online dan pendengar Suria FM boleh terlibat dalam pengundian awal untuk mencari lima pencalonan utama bagi setiap kategori yang dibuka bermula 3 Mac hingga 31 Mac.

Selepas itu proses pengundian lima pencalonan bagi mencari pemenang utama setiap kategori pula dibuka bermula 1 April hingga 27 April depan.

Previous Post Next Post