Yuna terbang tinggi


JELAJAH - Menanti untuk pulang ke tanah air, Yuna bakal mengadakan persembahan jelajah di AS antaranya di bandar Boston, Seattle, Los Angeles, New York dan Philadelphia serta beberapa negara Eropah.

Sudah lima tahun sengkang waktu berlalu buat anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah ini mencipta nama di negara orang. Terkini, Yuna bakal muncul dengan album ketiga berjudul Chapters.

Menariknya, satu cerita yang sudah menjadi bahan mulut peminat sejak kebelakangan ini ialah jalinan kerjasamanya dengan penyanyi antarabangsa, Usher menerusi single Crush yang turut dimuatkan dalam album tersebut.

Berkesempatan menemu bual wanita tinggi langsing itu menerusi panggilan telefon baru-baru ini, ramah bicaranya berkongsi perancangan karier sepanjang tahun ini, termasuk kisah kolaborasi bersama Usher.

“Sebenarnya, saya tidak bayangkan mana-mana penyanyi pun sewaktu menulis lagu Crush. Sehinggalah ia siap, baru saya terfikir mengapa tidak saya cuba menghantar lagu ini kepada Usher?

“Dalam hati tidak meletakkan harapan tinggi, tetapi tidak sangka permintaan saya dibalas Usher dengan jawapan, ‘ya’. Cuma Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu,” ujar Yuna penuh keterujaan membuka cerita.

Rahsia

Memperincikan momen istimewa tersebut, Yuna hanya ketawa riang. Manakan tidak, disebabkan Usher, dia diibaratkan terpaksa melalui pantang larang hampir setahun kerana tidak boleh berkongsi berita gembira berkenaan dengan orang lain.

“Saya masih ingat, sewaktu sedang menyambut hari raya di kampung halaman pada tahun lepas, saya menerima satu kiriman e-mel daripada Usher. Dalam e-mel tersebut, dia menghantar kembali lagu Crush yang sudah selesai dirakamkannya.

“Terujanya saya bukan kepalang. Sampaikan saya seperti tidak percaya, tetapi saya tidak tahu mahu buat apa sebab peraturan artis Hollywood sangat ketat. Mereka tidak membenarkan kita sesuka hati berkongsi perkara tersebut secara terbuka.

“Saya cuma boleh berkongsi rahsia gembira itu dengan ibu. Bayangkan, hampir setahun menyimpan perkara tersebut, ia umpama saya menyimpan rahsia sulit,” selorohnya.


Ditanya tentang kerjasama yang terjalin bersama Usher, Yuna ternyata selesa dan senang hati dengan layanan daripada lelaki berusia 38 tahun tersebut, sementelah perwatakan Usher yang begitu ramah dan mudah didekati.

“Usher seorang lelaki yang sangat manis dan memahami. Pada awal pertemuan kami, dia memberi minat yang tinggi untuk mengetahui latar belakang diri, karier dan muzik saya.

“Meskipun bertaraf bintang dunia, tetapi dia sangat merendah diri dan tidak cerewet ketika melakukan kerja. Sejujurnya, saya amat suka dengan personaliti Usher yang pandai mencipta keserasian dan keharmonian ketika bekerja,” ceritanya.

Chapter babak baharu

Berbicara mengenai pelancaran album terbaharunya yang diberi judul Chapters, Yuna dijangka pulang ke Malaysia menjelang Mei nanti untuk melancarkan serta mempromosi album tersebut.

Memuatkan 100 peratus lagu berbahasa Inggeris, Yuna menyuntik sedikit kelainan dalam Chapters apabila memuatkan variasi genre antaranya, hip hop dan R&B.

“Walaupun album ini tiada lagu bahasa Melayu, tetapi jangan risau. Sekarang saya sedang dalam proses untuk melancarkan sebuah single bahasa Melayu baharu untuk peminat, tetapi ia tidak dimuatkan dalam album Chapters,” ujarnya.

Sebelum pulang ke Malaysia, jadual persembahan Yuna diisi padat dengan perancangan persembahan jelajah ke beberapa negara Eropah sepanjang April nanti, sebelum menyambung persembahan di sekitar Amerika Syarikat pada Mei.

“Sejurus itu, barulah saya pulang ke Malaysia untuk melancarkan album Chapters yang dijangka pada 20 Mei nanti. Selepas selesai, saya akan berada di tanah air untuk menyambut kedatangan Ramadan bersama keluarga.

“Malah, kepulangan saya untuk melancarkan album di Malaysia juga diharap dapat mengubat kerinduan peminat yang senantiasa mendoakan saya.

“Selepas negara Eropah dan Amerika Syarikat, saya merancang untuk mengadakan jelajah di sekitar Asia pula,” ceritanya.

Selain cerita album dan Usher yang menarik perhatian ramai peminatnya di sini, kecenderungan Yuna menyertai pelbagai acara bersama selebriti antarabangsa juga tidak terlepas pandang.

Baru-baru ini, dia berkesempatan menemuramah aktres jelita, Cate Blanchett sempena program #changedestiny anjuran syarikat produk kecantikan terkenal SKII.

“Bukan hanya fokus kepada karier nyanyian, tetapi apabila berada di luar negara, saya mempunyai akses yang mudah untuk menyertai bermacam program. Sementelah, di Malaysia juga saya sangat aktif dengan pelbagai program anjuran SKII.

“Ironinya, walaupun program-program seperti ini nampak kecil di negara Barat terutamanya, tetapi saya sangat seronok sebab berpeluang bertemu dengan ramai nama besar,” ujarnya yang turut menjalin hubungan baik dengan bintang The 5th Wave, Chloe Moretz.


Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »