Zaiton Sameon sering dituduh gila


ZAITON cukup sedar pandangan sinis segelintir pihak yang menganggapnya kurang siuman, namun dia tabah mengharungi hidup. Kini, Zaiton menyandarkan harapan agar album baharu kelak diterima peminat.

Lagu Menaruh Harapan, pantas mengingatkan khalayak terhadap sepotong nama, Zaiton Sameon. Biarpun kemunculan tidak lagi digilai seperti dahulu, penyanyi yang telah menginjak usia 60 tahun itu masih meneruskan kelananya sebagai anak seni.

Biarpun hampir seluruh kehidupan dan karier seninya musnah diragut sebuah insiden kemalangan jalan raya yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, meninggal dunia pada tahun 1990, penyanyi Kabut Serangkai Mawar itu tetap tabah.

Usia juga bukan penghalang untuk menyempurnakan undangan nyanyian yang diterima. Zaiton mengakui, dia masih aktif mengadakan persembahan. Malah, penyanyi veteran yang sudah bertudung itu bakal keluar dengan album baharu, sekali gus bakal mengubat kerinduan peminat terhadap dirinya.


ARTISMELETOP!: Apa khabar Zaiton Sameon? Boleh kongsi perkembangan terkini anda?

ZAITON SAMEON: Alhamdulillah saya sihat. Selepas berehat lama, kini saya kembali aktif menyanyi. Sekarang saya banyak mendapat tawaran menyanyi untuk majlis-majlis seperti majlis makan malam atau ulang tahun syarikat korporat.

Terbaharu, saya bakal membuat persembahan untuk Karnival Sehati Sejiwa di Kuala Pilah. Tidak lama lagi akan ke Brunei juga untuk memenuhi satu undangan nyanyian.

Bagaimana perasaan apabila masih diingati dan dijemput untuk membuat persembahan?

Saya agak terharu dan terkejut setiap kali mendapat tawaran membuat persembahan. Tidak sangka masih ada segelintir pihak yang mengingati saya walaupun wujud kata-kata sumbang mendakwa, saya sudah tidak boleh bernyanyi.

Malah, ada juga mengatakan saya ini gila. Tuhan sahaja yang tahu kebenaran di sebalik kata-kata sebegitu.

Bagaimana perasaan anda apabila ada pihak yang memandang rendah dan menganggap anda sudah tidak siuman?

Sudah pastilah saya sedih dan terkilan apabila dituduh gila. Tetapi kita tidak boleh menutup mulut orang. Walaupun saya tahu siapa yang berkata demikian, tetapi biarlah. Saya sudah maafkan mereka dan tidak akan mengambil sebarang tindakan.

Dengarnya anda akan tampil dengan album baharu, boleh cerita tentang album tersebut?

Ya, saya bakal keluar dengan album terbaharu yang berjudul Terimalah Aku. Album terbitan Money Entertainment Sdn. Bhd. tersebut sudah pun selesai menjalani proses rakaman. Terdapat sembilan buah lagu dalam album tersebut. Bagaimanapun belum ada tarikh yang tetap untuk album berkenaan dilancarkan. Antara komposer yang terlibat menerbitkan album berkenaan termasuklah Syah Wahid dan Hairy Khalifah. Anak angkat saya, Ikah Ismail turut menyumbang sebuah lagu bertajuk Setia Bersama.

Adakah anda akan mengekalkan genre muzik yang dibawakan seperti dahulu atau menukarnya kepada genre yang lebih mengikut cita rasa pendengar kini?

Saya sedar, dengan umur sebegini, agak sukar untuk saya memenuhi kehendak pendengar sekarang. Biarpun, komposer untuk album ini terdiri daripada generasi baharu, namun saya masih mengekalkan genre balada 1990-an supaya peminat dapat mengingat kembali kehadiran Zaiton Sameon.

Anda sering tampil sejak kebelakangan ini, boleh kongsikan sejak bila perubahan tersebut berlaku?

Saya mula memakai hijab pada ulang tahun kelahiran saya yang ke-59 pada 2 Julai tahun lepas. Saya rasa dengan faktor usia sudah tiba masanya untuk berubah ke jalan yang lebih baik. Tambahan pula, saya sudah puas mewarnakan rambut dengan warna merah atau kuning, jadi kini saya ingin menutupnya.

Previous Post Next Post