Zara Zya Bimbang Karier Hambar Kerana Anugerah


Zara Zya bimbang karier lakonannya hambar sekiranya memenangi anugerah.

Pelakon Zara Zara mengakui berasa takut sekiranya memenangi sesuatu anugerah kerana bimbang karier lakonannya akan menjadi hambar.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 31, berkata, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kerana pihak produksi mula berpandangan seseorang artis mula bersikap 'demand' terutama soal bayaran selepas memenangi sesuatu trofi.

"Siapa yang tidak mahu memenangi anugerah tetapi dalam pada masa sama saya sedikit takut menerima pengiktirafan kerana bimbang karier akan menjadi hambar.

"Saya berkata demikian kerana pernah mengalami situasi berkenaan sebelum ini selepas melihat tawaran berkurangan.

"Akan wujud presepsi artis yang memenangi anugerah akan mula bersikap 'demand' walaupun ia tidak pernah berlaku," katanya kepada mStar Online.

Zara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di Sri Pentas baru-baru ini.

Menerusi acara berkenaan, Zara tercalon menerusi kategori Aktres Pilihan (HidayahMu Ramadan) dan DFKL bakal berlangsung pada 19 Mac depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.



Zara Zya.

Dalam pada itu, Zara berkata, dia bersyukur situasi dia kurang menerima tawaran lakonan sudah pun berakhir dan perlu bekerja lebih keras untuk terus mengekalkan namanya dalam industri lakonan.

Malah katanya, aspek penjagaan disiplin sangat dititikberatkan bagi memastikan kariernya dapat bertahan lama memandangkan semakin ramai pendatang baharu.

"Hampir setahun juga saya kurang tawaran tetapi alhamdulillah tahun ini jadual lakonan saya padat sehingga akhir tahun.

"Pada saya perkara paling penting untuk kekal lama adalah menjaga disiplin, ikhlas dalam melakukan kerja dan kepada orang disekeliling kita," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zara berkata, dia bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Duda Terlajak Laris dan Isteriku Bukan Tukang Masak 2.

Selain itu dia juga bakal sibuk dengan tugas sebagai pengacara program Kilauan Emas Otai.

Previous Post Next Post