Zara Zya Tiada masa untuk bercinta


DRAMATIS ini lebih selesa menumpukan fokus terhadap karier berbanding memburu kisah cinta.

LUMRAH menjalani kehidupan sebagai selebriti, pastinya seringkali ditebak soalan klise bila masanya akan menamatkan zaman bujang selagi belum mendirikan rumah tangga.

Dramatis tersohor, Zara Zya juga tidak terkecuali daripada berterusan diasak soalan sedemikian baik daripada peminat mahupun rakan media.

Mengakui hatinya masih belum dimiliki sesiapa lantaran selesa menumpukan fokus terhadap perkembangan karier, Zara Zya sebaliknya tidak tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Bersama Sensasi Bintang, pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 31, membicarakan lebih lanjut berhubung perkara itu.


SENSASI BINTANG: Timbul desas-desus bahawa anda akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini. Komen?

ZARA ZYA: Ia hanya satu khabar angin. Cerita itu tidak benar.

Buat masa ini, anda tidak mengenali hati budi sesiapa?

Bukan tiada yang mahu mengenali lebih daripada sekadar seorang teman biasa, cuma masa sangat terhad untuk ke arah itu.

Adakah ini bermakna anda belum bersedia?

Saya tiada masa untuk bercinta kerana terlalu sibuk dengan kerjaya. Nanti, saya juga yang kecewa apabila masing-masing bosan kerana tiada masa untuk si dia.

Tiada sebarang tekanan daripada keluarga untuk segera menamatkan zaman bujang?

Tidak. Keluarga juga memahami meskipun abang dan kakak kesemuanya berkahwin awal. Lagipun, saya anak bongsu.

Bagaimana pula reaksi anda jika berdepan dengan gosip cinta lokasi?

Saya menganggap set penggambaran sebagai pejabat, jadi mustahil terjadinya cinta lokasi. Justeru, mana mungkin mahu bercinta dengan orang lain pula di set penggambaran yang berbeza.

Beralih kepada perkembangan karier. Anda dilihat mencuba sesuatu yang baharu seperti bidang pengacaraan apabila kini mengendalikan Nota Kilauan Emas Otai setiap Isnin dan Selasa di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135). Komen?

Sebagai hos Nota Kilauan Emas Otai, saya menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab yang cukup besar kerana harus memastikan penonton teruja. Tambahan pula, ini pertama kali saya bergelar hos, jadi sudah tentu ia memberikan satu pengalaman baharu yang cukup bermakna.

Tidak memasang impian untuk bergelar penyanyi pula selepas ini?

Ada peminat yang memberi cadangan itu sebaik menonton video nyanyian saya di Instagram. Cuma, jadual saya sebagai pelakon cukup padat dan belum bersedia untuk menjadi penyanyi. Saya juga gemuruh di atas pentas, jadi ada baiknya saya kekal fokus terhadap bidang lakonan terlebih dahulu.

Boleh kongsikan keperibadian anda yang barangkali tidak diketahui umum?

Selain suka menyanyi dalam tandas dan bercakap depan cermin, saya juga suka memasak dan menganggapnya sebagai terapi untuk melepaskan tekanan kerja. Selain itu, saya juga sukakan wangian, cuma mudah migrain ketika memakai bulu mata palsu.

Ada sebarang perkembangan projek yang boleh dikongsikan bersama peminat?

Selain menjadi hos Nota Kilauan Emas Otai, saya juga bakal muncul dalam drama terbaharu berjudul Duda Terlajak Laris selepas ini. Selain itu, saya juga baru selesai menjalani penggambaran beberapa telefilem yang dijangka ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »