Zizan Razak: Dia Dah Cakap Kawan, Kawanlah...


Pelawak dan pengacara Zizan Razak memberitahu hubungannya dengan bekas isteri kepada pelakon Datuk Eizlan Yusof, Vie Syanty Harun masih lagi dianggap sebagai kawan sahaja.

Bagaimanapun, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 32, enggan mengulas lanjut tentang hubungan tersebut yang mana hanya dilihat akan mengeruhkan keadaan.

"Dia cakap hubungan kami hanya kawan, maka kawanlah... itu sahaja yang boleh saya komen,

"Saya tidak boleh komen lanjut kepada perkara yang tidak patut saya komen," ujarnya.

Zizan ditemui pada menerima anugerah Pelakon MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2016 yang diadakan di Pusat Konvensyen CIDB, malam Ahad.



Vie Syanty Harun.

Tambah Zizan, dia juga tidak tahu mengapa orang ramai masih mencari apa sahaja cerita berkaita hubungan tersebut.

"Saya tidak tahu mengapa orang cari dan korek tentang perkara ini, cukuplah apa yang dah keluar itu," ujarnya.

Zizan sebelum ini dikaitkan dengan wanita tersebut apabila terdapat foto mereka bergambar bersama dan pelawak ini juga ada mendedahkan bahawa mereka pernah keluar menonton wayang.

Namun, Zizan berkata, mereka keluar beramai-ramai dengan ditemani oleh ahli keluarga.

Sementara itu, mengulas tentang kejayaannya merangkul anugerah tersebut, Zizan berkata, ia merupakan kejayaan yang tidak disangka kerana masih baharu dalma bidang tersebut.

Tambahnya, kemenangan itu juga membakar semangat untuk dia menjadi seorang pelakon yang lebih baik.

"Saya rasa dihargai apabila berjaya memenangi kategori ini kerana saya rasa masih baru nak fokus dalam bidang lakonan ini.

"Saya juga berterima kasih kepada Shaheizy Sam yang banyak membantu saya menerusi filem Polis Evo itu," ujarnya.

Previous Post Next Post