Fathia Latiff bersyukur diberi hidayah


SELESA mengenakan hijab, Fathia bersyukur diberi hidayah pada usia muda.

KEJELITAAN seseorang wanita Islam tidak pernah terusik mahupun berkurangan walau sedikit saat menyarungkan hijab. Begitu juga dengan pelakon Fathia Latiff yang kini bulat hati mengenakan hijab sejak minggu lalu.

Bercerita tentang keputusan tersebut, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa itu mengakui wujud perasaan bimbang dalam dirinya pada saat ingin mengenakan hijab. Dia bagaimanapun tidak menjadikan bisikan kerisauan tersebut sebagai halangan untuk meneruskan niat baiknya.

Tidak terlalu cepat mahu menyusun masa depan dalam dunia seni, Fathia juga menyerahkan banyak perancangan dan hala tuju kariernya kepada ketentuan Tuhan.

Turut bersyukur diberikan hidayah pada usia muda, Fathia mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam usaha untuk menjadi Muslimah lebih baik.

Tambahnya, kehidupan kini lebih tenang selain mengharapkan penghijrahannya dapat memberi impak positif kepada peminat.


ARTISMELETOP!: Tahniah Fathia atas penghijrahan imej sekarang yang sudah berhijab. Bagaimana perasaan anda?

FATHIA LATIFF: Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Tidak ada banyak perubahan, segalanya berjalan seperti biasa.

Bolehkah kongsikan sedikit detik awal saat anda mula membuat keputusan untuk mengenakan hijab?

Sebenarnya telah lama saya menyimpan hasrat untuk mengenakan hijab. Namun, disebabkan kurang yakin dengan keputusan yang hendak dibuat, saya memilih untuk menunda niat tersebut sehingga benar-benar bersedia.

Saya mula bersedia untuk melakukan perubahan apabila ditawarkan watak seorang wanita yang tidak berhijab di dalam sebuah drama.

Saya tolak tawaran tersebut bukan kerana watak tersebut, sebaliknya ia berlaku secara tiba-tiba. Terdetik di hati untuk menolak tawaran tersebut kerana pada ketika itu saya telah benar-benar bersedia untuk berhijab.

Apakah yang membuatkan anda benar-benar mahu berubah?

Segalanya berlaku tanpa dirancang. Saya anggap ini semua kerja Tuhan. Apa yang boleh dikatakan, saya masih perlu banyak belajar untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.

Tidakkah terdetik rasa bimbang sekiranya perubahan imej akan menyebabkan anda kehilangan banyak tawaran berlakon?

Mengapa harus bimbang (ketawa). Insya-Allah, saya percaya terhadap rezeki. Tidak ada apa yang perlu disesali selepas berubah ke arah kebaikan.

Setelah membuat keputusan untuk berhijab, adakah anda akan membataskan lakonan seperti adegan bersentuhan?

Disebabkan masih baru mengenakan hijab, saya tidak berani untuk memberi sebarang komen kerana bimbang akan menimbulkan perasaan kurang senang kelak. Insya-Allah, saya akan berusaha menjaga tertib wanita bertudung dari semasa ke semasa.

Adakah keputusan menutup aurat menjejaskan komitmen anda sebagai duta mana-mana produk?

Rasanya keputusan mengenakan hijab ini tidak akan memudaratkan mana-mana pihak. Begitu juga dengan pihak syarikat yang telah melantik saya sebagai duta produk.

Alhamdulillah, saya masih ada rezeki menjadi duta untuk beberapa produk. Namun, ada kontrak yang ditandatangani semasa saya belum berhijab memerlukan perbincangan semula. Saya serahkan segalanya kepada Tuhan. Sekiranya memang takdir rezeki berkenaan milik saya, saya terima.

Jika sebaliknya, mungkin ada hikmah yang saya tidak tahu. Tambahan pula, saya merancang untuk menceburi bidang baharu pada masa hadapan.

Apakah yang dimaksudkan dengan mempunyai perancangan lain pada masa hadapan?

Insya-Allah, saya ingin menceburi bidang perniagaan. Bagaimanapun, biarlah ia menjadi rahsia buat masa sekarang kerana segalanya masih baharu dan dalam perbincangan. Mohon doakan segalanya dipermudahkan.

Kebanyakan daripada selebriti wanita tempatan yang mengenakan hijab akan menerima kecaman sekiranya ada penampilan mereka dilihat tidak bersesuaian. Bagaimanakah penerimaan anda terhadap perkara tersebut?

Saya tidak berani untuk memberi sebarang pendapat kepada pihak lain kerana itu adalah antara mereka dengan Tuhan. Apa yang boleh saya katakan, saya akan berusaha untuk menjadi Muslimah yang baik. Seperti yang diperkatakan tadi, saya masih baharu dan banyak perkara perlu dipelajari.

Previous Post Next Post