Fazley Yaakob Setuju Chef Selebriti Masih Mentah Untuk Muncul Di TV


Fazley sering minta pandangan Chef Wan.

Penyanyi dan Chef Selebriti Datuk Fazley Yaakob setuju dengan pandangan Datuk Chef Wan yang mengatakan kebanyakkan chef daripada program realiti televisyen kurang pengalaman dan masih mentah untuk berada di skrin televisyen.

Bagaimanapun, Fazley, 39, berkata, perkara itu boleh diatasi dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan menimba pengalaman secara berterusan dalam bidang berkenaan biarpun selepas bergelar chef selebriti.

"Saya setuju kalau Chef Wan kata chef selebriti baru yang lahir daripada rancangan realiti televisyen kurang pengalaman untuk memegang gelaran chef.

"Namun, pada saya mereka tidak boleh berpuas hati dan terus menimba ilmu untuk berada dalam bidang ini. Pada saya bukan dalam bidang ini sahaja, malah bidang nyanyian atau lakonan juga sama," ujarnya kepada mStar Online.

Fazley berkata demikian ketika diminta mengulas pendapat Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 58, bahawa kemunculan chef baharu yang bagaikan cendawan tumbuh menerusi program realiti televisyen tidak banyak membantu melahirkan seorang selebriti chef yang berkualiti.



Fazley terus timba ilmu dalam bidang masakan.

Dalam Anugerah Pilihan Online (APO2016) yang bakal berlangsung pada 30 April ini, Fazley tersenarai dalam kategori Chef Selebriti Pilihan Online yang turut turut bersaing dengan Chef Wan, Chef Nik Michael, Chef Adu Amran dan Chef Azli Razali.

Tambah Fazley, dia sendiri sering mendapatkan khidmat nasihat dan pendapat daripada Chef Wan sebelum melakukan sesuatu perkara dalam bidang tersebut.

"Saya mengenali Chef Wan sejak kecil dan setiap kali saya dapat tawaran belajar dalam bidang masakan saya akan tanya dia dahulu.

"Malah, ketika mula ditawarkan untuk ingin menyertai program realiti MasterChef Selebriti Malaysia, saya jumpa dia dan minta pendapatnya, bagi saya dia seorang Chef yang mempunyai pendidikan dan pengalaman yang banyak dan tahu apa yang terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan bidang kulinari, Fazley berkata dia mengakui kerjayanya semakin berkembang dan diterima masyarakat.

Katanya, buku masakannya berjudul My Sucre Story bakal dilancarkan pada April ini.

"Alhamdulillah, saya semakin mengorak langkah sebagai Chef, tahun ini saya dilantik sebagai duta kepada beberapa jenama berkaitan makanan.

"Bulan ini juga saya akan lancarkan buku resipi pertama saya yang telah dilancarkan di Paris dan Singapura bulan lalu," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang pencalonan dalam APO2016, Fazley berkata, ia adalah penghargaan buat dirinya yang baharu berjinak-jinak dalam bidang ini.

"Ini merupakan pencalonan pertama kali buat saya dan secara jujurnya memang saya agak terkejut kerana ketika mendapat berita saya tersenarai pada pencalonan awal saya berada di Paris.

"Manakala, ketika berita saya layak sebagai finalis pula saya berada di Singapura untuk promosi buku resipi saya," ujarnya.

Previous Post Next Post