Iedil, Reza seronok jadi penari jalanan


Reza (kanan) dan Iedil mengharapkan kebangkitan semula filem tempatan akan memberi tempias buat filem Showdown The Movie setanding filem lain yang berjaya mengutip jutaan ringgit.

BUKAN sekadar perlu menghafal skrip tetapi kali ini mereka perlu beraksi dan menari. Itu antara cabaran utama buat dua teraju utama filem Showdown The Movie, Reza Hasbi dan Iedil Putra yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 7 April ini.

Filem itu turut dibintangi Izara Aishah, Azad Jasmin, Ammar Alfian dan Maria Farida.

Bertemu dua teraju utama filem itu dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, ada cerita yang dikongsi mereka sepanjang bergelar penari jalanan.

Bagi Iedil Putra, biarpun ini kali pertama melakonkan filem tarian, namun atas tunjuk ajar yang diterima daripada pakar koreografi terkenal membuatkan dia mudah menguasai tarian hip hop dalam masa singkat.

“Sebenarnya sangat sukar untuk melakukan tarian hip hop sebab ia rancak, ada banyak pergerakan sukar dan memerlukan tenaga yang banyak. Sewaktu menerima tawaran berlakon filem ini, saya tidak berapa yakin dapat melakukannya tetapi kepercayaan yang diberi oleh pihak produksi membuatkan saya bersemangat untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Walaupun saya tidak mempunyai latar belakang dalam ilmu tarian hip hop tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk saya mencuba sesuatu yang baharu demi mempelbagaikan watak,” ujar Iedil yang mempunyai latar belakang dalam seni persembahan tarian tradisional sejak berumur lapan tahun.


Bagi pelakon berusia 32 itu, dia mengakui kelibatnya dalam dunia seni kurang dikenali meskipun ironinya dia mula menempa nama dengan beberapa buah naskhah berat.

“Orang kenal saya melalui naskhah filem yang berat seperti Terbaik Dari Langit, jadi dari situ timbul perspektif yang mengatakan saya hanya muncul dengan naskhah berat dan bersifat antarabangsa.

“Sejujurnya, saya tidak memilih untuk berlakon dalam apa jua bentuk karya sama ada besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Jadi, saya harap peminat tidak lagi meletakkan persepsi sebegitu dengan kemunculan filem unik seperti Showdown The Movie,” ujarnya yang bakal muncul dengan dua buah filem, Pekak dan Interchange tidak lama lagi.

Sementara itu, bagi Reza Hasbi yang memegang watak sebagai Kimi berkata, mempunyai latar belakang sebagai penari memberi kelebihan buat dirinya untuk menguasai filem Showdown The Movie secara menyeluruh.

“Saya dilahirkan dalam industri ini menerusi sebuah program realiti, jadi dari situ saya belajar selok-belok menjadi anak seni. Malah, bakat menari digilap ketika berusia 13 tahun lagi apabila kerap bermain dengan kawan-kawan. Dari situ perlahan-lahan saya menguasai kemahiran asas tarian,” ujarnya.

Biarpun berpengalaman dalam dunia tarian tetapi dia tetap menganggap filem arahan Khairil M. Bahar itu memberi cabaran tersendiri, apatah lagi dia pernah mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran.

“Sewaktu menerima tawaran filem ini, saya sudah berhenti menari selama dua tahun. Jadi, perkara itu membuatkan saya perlu mengambil masa yang agak lama untuk mengembalikan momentum dan mencari rentak. Ia sebenarnya sukar sebab tempoh dua tahun boleh menguburkan skil tarian yang saya miliki.

“Malah, kecederaan juga adalah salah satu cabaran yang tidak boleh dielakkan. Pada hari pertama penggambaran, ibu jari kanan saya sudah tercedera kerana terseliuh sewaktu sedang melakukan latihan.

Akibatnya, sehingga sekarang kesan sakit itu masih ada, terutamanya apabila saya memegang telefon bimbit dan membawa motosikal,” ceritanya.

Previous Post Next Post