Keserasian Erra di sisi Awie


Serasi dicari - Berbanding ketika berlakon Sembilu, Erra berkata pada waktu tersebut penghayatan watak timbul secara semula jadi kerana masing-masing sedang asyik bercinta. Kini keserasian lakonan perlu dicari kerana sudah lama tidak bergandingan, khususnya di dalam sebuah filem.

BERGANDINGAN semula dengan bekas tunangannya, Awie dalam sebuah filem, bukan sesuatu yang pelik buat wanita yang terkenal dengan jolokan Primadona Filem Alaf Baharu, Erra Fazira.

Sebelum ini, pasangan terkenal era filem Skop Production sekitar tahun 1990-an itu pernah bergandingan dalam Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya (2014), telefilem Aku Benci Raya (2015) dan teater epik Takhta Tiga Ratu (2014).

Puas beraksi di pentas dan di layar kaca, terkini dua nama besar itu kembali menguntum senyuman peminat menerusi sebuah filem berjudul Warna Cinta Impian (WCI).

Tidak terkejut saat persoalan berkenaan ‘percintaan semula’ antara Erra dan Awie, wanita berstatus ibu tunggal itu tersenyum panjang.

Katanya, perhubungan cinta dengan Awie tersemai ketika sama-sama membintangi filem Sembilu pada 1994. Berselang masa lebih 20 tahun, mereka kini bukan remaja yang perlu bermasam muka hanya kerana jodoh tidak kesampaian.

Mengakui sudah matang dan boleh berfikiran lebih rasional, pemilik nama Fazira Wan Chik itu seronok dapat kembali berlakon dengan Awie menerusi WCI yang disifatkannya seperti hubungan abang dan adik.

“Jika dahulu, bila berlakon bersama, hubungan kami akan sedikit tegang kerana sebagai teman lelaki, Awie seorang yang kuat cemburu.

“Sekarang, dia lebih bersikap seperti abang yang mudah mesra dan banyak membantu sepanjang proses penggambaran,” katanya yang dilihat tidak habis-habis diusik oleh Awie sepanjang usai tayangan perdana filem WCI di Damansara baru-baru ini.

Bukan setakat bermain kata, kesudian Erra untuk kembali berlakon bersama Awie tidak akan terhenti setakat ini. Erra tidak melihat sebarang halangan jika ada tawaran yang memerlukan mereka bergandingan sebagai hero dan heroin sekali lagi.

Mengulas niat Awie yang bercadang membuat filem berkisarkan percintaan mereka suatu ketika dahulu, pemenang tiga kali trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia itu menerima hasrta berkenaan dengan hati terbuka jika skrip dan jalan cerita bersesuaian.

“Jika ada permintaan untuk kembali menggabungkan kami selaku teraju utama, apa salahnya. Saya dan Awie masing-masing sudah dewasa, tiada lagi istilah merajuk atau berbalah.

“Kenangan bercinta sudah jauh kami tinggalkan dan rasanya kami lebih mudah bekerjasama andai tiada perasaan peribadi. Sekarang, kami lebih selesa sebagai kawan dan boleh bergurau tanpa perlu bimbang ada pihak terasa hati atau sebaliknya,” ujarnya lagi.


Rahsia peribadi

Permintaan untuk sebuah penyatuan semula Erra dan Awie sudah kerap kali juga disuarakan peminat. Bukan sekadar dalam sebuah karya fantasi, bahkan ada yang tidak putus-putus mengharapkan dua bekas kekasih itu menyatu di alam realiti.

Wanita berusia 42 tahun itu sedar keterujaan peminat tatkala melihat keserasian beliau dengan Awie. Kematangan hidup membuatkan penghayatan mereka meresap ke jiwa peminat sehingga ada yang terbawa-bawa bahawa kemesraan di dalam karya lakonan terutama menerusi WCI adalah perasaan sebenar.

Erra cukup memahami situasi berkenaan dan menerimanya sebagai alah bisa tegal biasa. Bukanlah kali pertama beliau mendapat reaksi sebegitu daripada peminat mengenai lakonan malahan dalam kehidupan peribadinya.

“Biasalah, peminat suka melihat kita mempunyai pasangan dan hidup gembira. Sebagai contoh, andai peminat melihat foto saya dirakam bersama bekas suami, Engku Emran dan anak, Engku Aleesya, respon serupa juga mencurah-curah agar kembali berbaik. “Buat masa sekarang, biarlah saya simpan soal hati untuk diri sendiri. Apa yang peminat harapkan, saya anggap sebagai doa,” ujarnya yang menolak bercerita tentang cinta hati walau dipujuk berkali-kali.

Filem tanpa hijab

Berbalik semula mengenai WCI, jarak tayangan filem dan proses pembikinan selama dua tahun turut memberikan impak terhadap Erra.

Sepanjang tempoh berkenaan, banyak perubahan berlaku, khususnya daripada segi penampilan dan imej Erra yang kini sudah berhijab.

“Filem WCI menjalani penggambaran sekitar 2014. Ketika itu saya belum berhijrah, namun saya tidak berasa ralat kerana apa terpapar sekarang merupakan komitmen saya sebagai pelakon.

“ Dua tahun lepas, saya tidak terbayang akan berhijab dalam tempoh terdekat. Apa yang penting, Allah tahu niat saya,” katanya yang tidak mahu terlalu memikirkan penerimaan peminat apabila melihat dirinya tidak bertudung dalam WCI.

Pada masa sama, rutin kehidupannya tidak banyak berubah. Selain karier dan soal anak menjadi keutamaan, perniagaan tudung yang dijalankan, Rara By Erra Fazira sejak lima tahun dahulu masih beroperasi dalam skala sederhana.

Biarpun sambutan yang diterima tidak meledak atau hangat diperkatakan, beliau selesa begitu dan berpuas hati kerana sudah mempunyai pengikut tersendiri.

“Alhamdulillah, hidup saya kini seimbang antara karier, ibu dan ahli perniagaan. Saya tenang dan gembira dengan kehidupan sekarang,” katanya mengakhiri bicara.

Fenomena yang dicetuskan sewaktu berlakon bersama dalam filem Sembilu telah membuka pintu hati Erra Fazira untuk sekali lagi digandingkan bersama Awie untuk filem Warna Cinta Impian. Bukan di atas dasar membangkit kembali perasaan suatu masa dahulu, namun lebih kepada menjalin semula tali persahabatan, sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Previous Post Next Post