Nazim Othman lancar single



PELAKON Nazim Othman bakal melancarkan single tidak lama lagi. Single berjudul Cerita Kita itu sudah dirakam sejak dua tahun lalu.

“Bagaimanapun saya akan merakamkannya kembali bersesuaian dengan vokal terkini supaya tampak lebih segar,” katanya.

Jelasnya yang pernah merakamkan lagu berentak Kpop sebelum ini, dia tidak lagi berminat dengan muzik seumpama itu.

“Dalam usia sekarang, genre Kpop tidak lagi bersesuaian dengan saya.

“Meskipun pernah merakamkan single Kpop, tetapi ia tidak pernah dilancarkan sehingga kini.

“Selepas ini saya lebih selesa memilih genre balada,” kata pelakon berusia 32 tahun itu.

Ditemui di sidang media Gempak Superstar baru-baru ini, katanya, penglibatan menerusi program tersebut bertujuan mempamerkan bakatnya dalam bidang seni suara.


“Saya mengambil masa lama untuk menerima lamaran mengikuti program ini. Lagi pun saya tidak mahu sekadar tangkap muat sahaja.

“Kalau boleh biarlah penyertaan saya mampu membuktikan bakat dalam nyanyian,” katanya.

Tambah Nazim, dia berharap kemunculan bersama Gempak Superstar akan diterima peminat.

“Sedikit sebanyak ini menjadi platform saya muncul sebagai penyanyi di hadapan peminat. Jadi apabila keluar single nanti peminat tidak akan terkejut,” katanya.

Selain Nazim, Gempak Selebriti turut disertai oleh Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin, Arja Lee, Izreen Azminda, Tasha Shilla, Raja Ilya, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Gempak Superstar akan bersiaran setiap Ahad, jam 9 malam bermula 10 April 2016 secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Previous Post Next Post