Pesona 20 tahun Siti Nurhaliza


KEUTUHAN dan kelangsungan pelayaran seni milik Datuk Siti Nurhaliza boleh diibaratkan seperti pancaran deretan lampu sorot yang melimpahkan cahayanya ke atas sebuah hamparan pentas yang ampuh. Terang, silau dan hangat.

Memulakan prolog seni selepas menjuarai pertandingan Bintang HMI pada tahun 1995, dan kemudian melahirkan album perdana berjudul Siti Nurhaliza pada tahun berikutnya, Siti tidak pernah berhenti meledakkan industri hiburan menerusi setiap lakaran pencapaiannya sehingga ke saat ini.

Bahkan, dalam tempoh 20 tahun menakhodakan karier sebagai pelantun suara, wanita berusia 37 tahun itu juga belum pernah gagal meletakkan dirinya antara yang terbaik, sehingga melayakkan beliau menerima ‘cop mohor’ sebagai penyanyi nombor satu negara daripada khalayak.

Membuktikan bahawa tempoh dua dekad itu membawa makna yang besar dalam kamus kedewasaannya, Siti sekali lagi berjaya mengagumkan kelompok peminat menerusi Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.

“Saya gembira kerana konsert pada malam ini berjalan seperti yang telah dirancang. Biarpun agak gementar pada minit-minit awal persembahan, namun saya sangat teruja melihat semangat yang diberikan oleh penonton.

“Untuk tempoh 20 tahun bergelar penyanyi, momen ini merupakan antara kenangan terindah bersama peminat yang mungkin tidak akan saya lupakan sehingga bila-bila,” ujar Siti.

Dianjurkan oleh Yonder Music dan Xpax, Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends itu turut membariskan penyanyi popular seperti Anggun, Afgan, Cakra Khan, Faizal Tahir, Hafiz Suip, Joe Flizzow dan SonaOne.

Mengakui berasa sangat terharu, Siti berkata, beliau tidak menyangka penyanyi-penyanyi yang terlibat sudi berkongsi pentas untuk meraikan ulang tahun ke-20 beliau dalam industri muzik.

“Saya tidak menyangka mereka sudi untuk berkolaborasi dan berkongsi pentas bersama, lebih-lebih lagi Anggun yang tinggal jauh di Paris.

“Namun, saya sangat bersyukur kerana kami dapat memberikan sebuah persembahan. Sejujurnya, saya kini boleh tidur dengan senyuman yang mekar di bibir,” ujar Siti dalam nada berseloroh.



Kolaborasi Siti bersama penyanyi antarabangsa, Anggun mencerminkan keunggulan mereka sebagai penghibur.

Sebelum ini, Siti pernah memberitahu bahawa Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends merupakan persembahan berskala besar terakhirnya sebelum beliau berehat dan bercuti panjang selama dua bulan.

Namun, tutur Siti, beliau masih akan menjayakan beberapa program hiburan yang sebelum ini telah dipersetujuinya.

“Saya mahu mengambil peluang yang ada untuk bercuti panjang dan mungkin melancong ke tempat yang boleh memberikan ketenangan fikiran untuk saya.

“Insya-Allah, saya akan kembali aktif selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya yang masih belum mempunyai perancangan jelas berkenaan pembikinan album baharu dan siri konsert lain.

Kolaborasi

Mengimbas kembali perjalanan Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends, pentas dibuka dengan segmen akustik yang memperlihatkan Siti melantunkan rangkaian lagu-lagu popularnya iaitu Aku Cinta Padamu, Percayalah, Jaga Dia Untukku dan Terbaik Bagi Mu.

Meneruskan persembahan dengan iringan band The Gotham All Stars, Siti sekali lagi ‘menyihir’ penonton dengan alunan suaranya bersama rapper Joe Flizzow dan SonaOne menerusi medley lagu-lagu rancak Ku Mahu, Ku Milikmu serta Destinasi Cinta.

Walaupun pertama kali berkongsi pentas, tidak sukar bagi Anggun untuk menarik perhatian penonton dengan dua buah lagu duetnya bersama Siti, Snow On The Sahara dan Bukan Cinta Biasa. Ternyata, paduan vokal yang akrab antara Anggun dan Siti kedengaran sungguh memukau.

Sempat menitipkan pesan kepada penonton sebelum meninggalkan pentas, Anggun berkata: “Saya cuma ingin memberitahu bahawa Siti merupakan seorang wanita yang cantik luar dan dalam.”

Selain Anggun, Siti turut berpadu suara bersama Hafiz Suip menerusi lagu Muara Kasih, Cakra Khan (Seluruh Cinta), Faizal Tahir (Bagaikan Sakti) dan Afgan (Bukan Cinta Biasa).

Terus membuai emosi peminat, Siti turut mendedikasikan lagu Jerat Percintaan, iaitu single pertamanya yang dicipta oleh Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang meninggal dunia 18 Mac lalu.


Seramai 7,000 peminat memenuhi ruang Stadium Negara, Kuala Lumpur bagi menonton Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends.

“Beliau merupakan komposer yang bertanggungjawab membawa saya ke persada seni muzik tanah air dan jasanya tetap saya akan kenang sampai bila-bila,” ujar Siti.

Whitney Houston

Selain kolaborasi unik bersama penyanyi popular dalam dan luar negara, Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends turut menyaksikan lagu Memories dinyanyikan buat kali yang pertama oleh Datuk Siti Nurhaliza dan mendiang Whitney Houston.

Merupakan sebuah lagu yang belum pernah diterbitkan secara rasmi, Siti diberi peluang untuk berduet secara digital berdasarkan suara Houston yang dirakam pada tahun 1982.

“Selepas mendapat tahu saya mengidolakan Whitney Houston, pihak Yonder memberi cadangan untuk menggabungkan vokal saya dan Whitney secara rakaman digital.

“Ia merupakan suatu penghormatan yang besar buat saya kerana dapat menyanyi bersama Whitney walaupun dia telah meninggal dunia,” katanya.

Lebih istimewa, klip video lagu Memories telah dirakamkan secara langsung pada malam konsert tersebut.

Secara keseluruhan, Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends boleh dikatakan mirip seperti persembahan berskala besar penyanyi antarabangsa lain.

Dari segi susunan muzik, bunyi, susun atur pentas dan teknik pencahayaan, pihak Yonder Music berjaya mewujudkan suasana segar bagi menggambarkan usia 20 tahun Siti bergelar anak seni.

Konsert ini sekali gus menjadi penanda aras buat Siti sebagai penghibur berkredibiliti yang memang layak terbang tinggi di angkasa seni selama 20 tahun. Semoga Siti lanjut usia dengan karier yang lebih ‘masak’ dan hebat.

Previous Post Next Post