Tony Eusoff mohon maaf, sedia terima hukuman


Tony Eusoff

PELAKON, Tony Eusoff yang berdepan tuduhan memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah di Singapura melahirkan permohonan maaf kepada semua peminat, ahli keluarga, rakan-rakan dan pihak media atas kejadian itu.

Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 38, menyatakan kesediaan berdepan dengan hukuman yang bakal dikenakan sekiranya beliau didapati bersalah oleh mahkamah negara kota singar itu.

“Saya sedia maklum dan mengaku bahawa perbuatan saya tempoh hari memang boleh mengundang salah dan akan menyalahi peraturan yang ada. Ingin saya tekankan di sini bahawa, kejadian ini berlaku tiada sebab lain kecuali atas kecuaian dan tidak kematangan saya berfikir pada waktu itu.


“Sedar akan tindakan tersebut boleh memberi pengaruh yang negatif kepada umum terutama golongan generasi muda kita dan saya amat menyesalinya,” tulisnya di laman Facebook.

Tony dituduh memiliki satu paket yang mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram cebisan bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi campuran ganja semasa di dewan ketibaan bas penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas, 12 Mac lalu.

Dalam pada itu, pelakon filem dan teater ini turut berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.

“Hikmah dari kejadian ini akan saya manfaatkan untuk bertaubat serta membetulkan diri ini demi keluarga, rakan-rakan serta peminat saya yang tersayang.

“Sekali lagi, saya ingin memohon jutaan ampun dan maaf dari semua pihak. Segala doa, nasihat dan teguran semua amat saya hargai,” katanya.

Previous Post Next Post