Jelajah Anugerah Juara Lagu (AJL) 28



Jelajah Anugerah Juara Lagu (AJL) 28 yang di Busana @ Menara Mara, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, kelmarin mendapat sambutan cukup hangat dengan kehadiran lebih 1,000 penonton.

Suasana perkarangan pusat beli-belah itu bertukar sesak gara-gara kehadiran tujuh orang finalis AJL 28 iaitu Stacy, Jaclyn Victor, Hafiz, Awi Rafael, Altimet, Azlan & The Typewriter, Hazama dan kumpulan Hyper Act.

Memperdengarkan lagu-lagu yang akan dipertandingkan di pentas AJL 28, aktiviti jelajah yang diadakan dari jam 1.30 tengah hari hingga 6 petang itu, turut merangsang keterujaan penonton untuk menyaksikan malam kemuncak AJL 28 yang sebenar pada 26 Januari ini.

Tidak terbatas pada persembahan saja, suasana digamatkan lagi dengan aktiviti beramah mesra bersama selebriti kesayangan termasuk segmen permainan iaitu ‘Guiter Hero’, pertandingan nyanyian, tarian dan ‘drum battle’.

Toi selaku vokalis kedua kumpulan Hyper Act berkata, mereka terkejut apabila penonton turut sama menyanyi tatkala mereka mendendangkan lagu Hanya Kamu.




“Sambutan yang diberikan penonton hari ini cukup meriah sekali dan paling membuatkan Hyper Act tersentuh hati, sedang kami menghiburkan mereka dengan lagu Hanya Aku tadi, penonton turut sama menyanyi.

“Meskipun Hanya Aku antara lagu yang berjaya membolosi senarai finalis AJL 28, kami tidak pernah merasakan lagu ini sesuatu yang hebat tambahan pula berbanding finalis yang lain, Hyper Act masih setahun jagung.

“Apapun kami berharap pada acara malam kemuncak nanti kami dapat memberikan persembahan terbaik khusus buat peminat serta individu yang selama ini menyokong kumpulan kami,” katanya.

Selain Hanya Aku, turut mara pada pertandingan itu adalah Penglipurlara nyanyian Hazama, Takkan Terpisah (Black), Bahagiaku Deritamu (Hafiz Suip), Aku Pelat (Salam Muzik), In Love With You (Noh Salleh & Aizat Amdan), Bosan (Stacy).

Manakala Kalau Aku Kaya ( Awi Rafael & Altimate), Hanya Aku (Hyper Act), Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Sahabat (Najwa Latiff), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor) dan Kau Yang Terindah (Alyah) turut berjaya menempatkan diri di peringkat akhir.

Sebuah program khas iaitu Debaran AJL bakal bersiaran pada 25 Januari ini jam 5 petang bagi mengimbas detik-detik persiapan acara itu.

ARTIKEL LAIN: 12 Lagu Berjaya Layak Ke Anugerah Juara Lagu Ke 28 (AJL28)

Apa yang menarik, TV3 selaku penganjur memperkenankan tema ‘Game On’ yang bakal menawarkan penonton pengalaman luar biasa berbanding penganjuran AJL sebelumnya.

Rekaan pentas berbentuk kapal angkasa, konsep ‘game on’ dipilih seiring dengan daya dinamik penggiat muzik yang dipamerkan dalam menggerakkan industri tanah air.

Stacy yang turut ditemui pada Jejalah AJL 28, berkata, dia dan pasukan penarinya sudah pun berbincang bentuk persembahan yang ingin ditampilkan pada kemuncak AJL 28.

“Ada banyak idea sebenarnya, tinggal lagi untuk memilih satu konsep yang terbaik dan dalam masa sama memudahkan tugas saya untuk menari dan menyanyi. Faham-faham sajalah, Bosan sebuah lagu yang rancak. Saya tidak mahu kerana terlalu memberi fokus kepada tarian, nyanyian saya longgar.

“Terus-terang semakin dekat menghampiri kemuncak saya semakin gementar dan serba tidak kena. Pun begitu, ruang bertemu peminat pada Jejalah AJL 28 hari ini memberikan sedikit keredaan kerana ia ibarat pra persembahan di malam final.

“Apapun segala yang bakal dipertontonkan pada final nanti adalah sangat berbeza dengan persembahan yang kami lakukan pada hari ini. Justeru saya menyeru peminat beramai-ramai datang menyaksikannya,” katanya.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan AJL 28 boleh berbuat demikian di Balai Pengawal, Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya pada 23 Januari bermula jam 2 petang.
Previous Post Next Post