Ayu Damit idam peladang jaya


Rezeki dalam dunia seni suara masih ada.

MENJADI seorang artis tidak bererti seseorang itu dijanjikan dengan pendapatan lumayan yang melimpah ruah sehingga mampu menyara hidup hingga ke hari tua.

Maka, tidak hairanlah terdapat segelintir artis yang mengambil inisiatif menambah pendapatan dengan menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Pun begitu, ketika ramai artis memilih perniagaan seperti membuka restoran atau mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan, Ayu Damit, 25, sebaliknya melibatkan diri dalam bidang pertanian dengan menanam kelapa dan nanas.

Juara program realiti One In A Million musim kedua (OIAM2) itu menjelaskan, perusahaan kelapa di ladang berkeluasan hampir empat ekar atau 1.6 hektar di Kuala Kangsar, Perak itu adalah hasil kerja keras suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 27.

“Tanaman utama yang diusahakan sebenarnya adalah kelapa di tanah milik keluarga mentua saya.

"Bagaimanapun, baki ruang yang terdapat di antara pokok kelapa dimanfaatkan dengan menanam pokok nanas sebagai tanaman kontan.

“Kami memulakan projek ini pada tahun lalu. Buat masa ini, ia belum lagi mendatangkan sebarang hasil kerana buah kelapa mengambil masa tiga tahun untuk matang.

“Bagaimanapun, senarai pembeli telah diperolehi dan mereka akan menjalin kerjasama berterusan seandainya hasil tanaman kelapa ini berjaya menghasilkan buah yang bagus dan berkualiti.

"Ini kerana, perusahaan ini mendapat bantuan daripada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan)," katanya ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hits, baru-baru ini.

Mengulas mengenai tanaman nanas pula, Ayu memberitahu bahawa ia hanya boleh dituai pada Jun ini kerana memerlukan masa kira-kira 14 bulan untuk masak.

Disebabkan projek tersebut, Ayu dan suaminya sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perak untuk menguruskannya dan optimis dengan pendirian mereka bahawa bidang pertanian mampu memberi pulangan yang lumayan andai ia dilaksanakan menerusi kaedah yang betul.

“Orang tua-tua kata, berbakti kepada tanah akan mendapat pulangan yang berbaloi. Saya berpegang kepada pepatah itu dan berharap usaha kami berjaya," ujar Ayu sambil memberitahu bahawa perniagaan tersebut dijalankan di bawah syarikat miliknya, Ayu Damit Enterprise.




Ambil anak angkat

Berbicara mengenai kehidupan peribadinya, Ayu yang baharu sahaja mengambil seorang anak angkat, Nurqalisha Umaira yang kini berusia tiga bulan menyatakan bahawa keputusan tersebut diambil memandangkan dia tidak mahu hamil dalam masa terdekat.

Katanya, bayi yang diberi nama panggilan Isha itu merupakan anak saudara sebelah suami dan keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana.

“Jadi, selepas berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk meringankan beban keluarga Isha dengan mengambilnya sebagai anak angkat," katanya.

Ayu dan suami membuat keputusan tersebut kerana mahu memberi ruang dan peluang kepada penyanyi Inspirasi Abadi itu kekal fokus dalam membina namanya di persada muzik tempatan.

Menurut Ayu, sebelum ini proses kehamilan, melahir dan membesarkan dua anak kandungnya, Syed Nashrul Haikal, 5, dan Sharifah Alya Adriana, 3, telah membantutkan usahanya untuk melebarkan sayapnya sebagai penyanyi.

“Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk tidak hamil dalam masa terdekat. Sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang supaya mempunyai cukup masa membina semula kerjaya nyanyian saya.

“Tetapi, dalam masa yang sama, keluarga Isha pula berhadapan masalah ekonomi dan saya beranggapan ini peluang untuk saya menambah bilangan anak tanpa perlu hamil.

"Diharap, dengan kehadiran Isha ke dalam keluarga kami, ia mampu membawa rezeki yang berlipat ganda buat saya serta keluarga Isha sendiri," tambahnya.
Previous Post Next Post