
Selepas namanya terpalit dengan kontroversi tahun lalu, nama Shah Jaszle seakan tenggelam dari industri hiburan tanah air.
Ketika ditemui, pelakon berusia 26 tahun itu memberitahu kepada Astro Gempak kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa, malah selepas kontroversi ditangkap khalwat tawaran berlakon juga tidak putus.
“Alhamdulillah, rezeki masih ada…Sekarang ni pun jadual penggambaran saya agak ketat…Ramai yang kata saya hilang selepas kes tahun lepas, tetapi sebenarnya saya masih ada, masih bekerja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tayangan Drama Bersiri Dendam 5 Beradik di TGV, pada Khamis.
Bercakap mengenai perkembangan sebutan semula kes khalwatnya dengan seorang pegawai bank, Shah Jaszle memberitahu perbicaraan masih dijalankan di mahkamah.
“Semuanya masih belum selesai. Saya akan terus ‘fight’ demi menebus maruah yang sudah tercalar. Walaupun terpaksa berhabis, saya tak kisah,” ujarnya ringkas.
Bagaimanapun menurut Shah, insiden tersebut banyak memberi pengajaran kepadanya terutama dalam hal memilih kawan.
“Saya lebih berhati-hati memilih kawan sekarang. Aktiviti sosial juga dikurangkan dan saya kini sudah melantik adik saya sendiri sebagai pengurus. Lebih mudah dan yang penting…boleh dipercayai.
“Terus terang saya katakan saya tidak lagi mudah percaya pada orang luar dan sebab itu saya mengambil adik sendiri sebagai pengurus bagi memudahkan urusan kerjaya seni saya.
"Setakat ini semuanya berjalan lancar dan jadual saya juga diatur dengan baik selain dia sentiasa menemani saya ke majlis hiburan atau penggambaran drama," katanya.
Dalam pada itu, Sharizal berkata, ibunya, Zaleha, 68, juga sentiasa bersamanya tidak kira ke lokasi penggambaran atau acara hiburan kerana dia mahu lebih berhati-hati selepas apa yang telah menimpanya sebelum ini.
Bagaimanapun kata Shahrizal, dia tidak kisah ibunya berbuat demikian kerana dia juga lebih selesa wanita berkenaan sentiasa bersamanya.
Mengenai persiapan perkahwinan pula, Shahrizal berkata, dia masih belum membuat apa-apa persiapan untuk mengahwini Redzwani Putri, 26, yang dijadualkan pada akhir tahun ini.