SELAMBA. Kumpulan AhmadAhmad tidak kisah dilabelkan sebagai artis jalanan.
KEBERANIAN untuk bereksperimentasi dengan pelbagai genre, tidak takut untuk melakukan pelbagai perubahan dalam komposisi lagu dan cara penyampaian berbeza merupakan antara aset penggiat seni untuk mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan tanah air.
Konsep baharu dan segar juga menjadi elemen penting jika ingin dilihat sebagai seorang artis yang berbeza dan mempunyai nilai yang tersendiri berbanding artis lain.
Kesemua elemen tersebut cuba ditonjolkan oleh AhmadAhmad.
Kumpulan duo itu dianggotai dua orang lama dalam industri muzik tempatan tanah air, Dr. Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas atau lebih dikenali sebagai Pacai dan bekas anggota kumpulan Garing, Ahmad Hadi yang sudah tidak asing lagi bagi industri ini.
Dianggap sebagai orang lama dalam industri muzik, Pacai pernah menganggotai kumpulan Ekamatra sebagai pemain bass.
Ahmad Hadi pula sudah lama mengukir nama dengan penghasilan lagu runut bunyi (OST) dalam kebanyakan filem popular di negara ini termasuk Papadom, Sepi, Cinta dan drama bersiri Jongkang Jongket.
Mengulas mengenai penubuhan AhmadAhmad, ujar Pacai, sudah lama dia teringin untuk menubuhkan duo yang memberi kelainan dari segi penyampaian lagu dan pengisian lirik.
“Kepelbagaian konsep dan pengisian lirik yang disampaikan kumpulan AhmadAhmad memang berbeza jika dihayati dari segi pengisian dan susunan muziknya.
“Kami lebih menekankan kepada pengisian lirik yang berbentuk nasihat dan sindiran dalam setiap lagu yang dilontarkan.
“Walaupun ia dilihat agak berat tetapi kami menyampaikan lagu dalam bentuk ringan dan selamba supaya peminat dapat menghayati lagu kami dengan lebih santai.
“Kami juga menyelitkan unsur penceritaan dan penggunaan ayat yang digunakan lebih kepada penggunaan bahasa yang berunsurkan sastera puitis tetapi disesuaikan dengan melodi yang agak catchy,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.
PACAI (kiri) dan Garing tidak menyangka muzik yang dibawakan AhmadAhmad diterima generasi muda masa kini.
Bersifat selamba dan tidak mementingkan penampilan, AhmadAhmad tidak kisah untuk dilabelkan sebagai artis jalanan asalkan peminat dapat mendengar muzik dan hasil kerja mereka dihargai oleh peminat.
“Kami tidak pernah meletakkan penanda aras dalam setiap muzik disampaikan.
“Ini kerana bagi kami, cukuplah pendengar menilai sendiri hasil kerja kami dan kebanyakan lagu yang disampaikan berdasarkan kepada kehidupan sebenar yang dilalui oleh orang kebanyakan macam kita.
“Kami juga tidak memilih untuk melakukan persembahan di mana-mana sahaja.
“Bagi kami, muzik yang dihasilkan adalah sesuai dengan semua golongan dan tidak hanya terikat kepada golongan tertentu sahaja,” tambah Pacai.
Sementara itu, ujar Ahmad Hadi pula, setakat ini AhmadAhmad mendapat maklumbalas yang positif daripada peminat menerusi tiga single mereka yang telah berada di pasaran setakat ini yang terdiri daripada Satu Kepala, Bling Bling Bla Bla Bla (5B) dan Dah.
“Sejak single pertama kami, Satu Kepala dikeluarkan pada tahun 2011, maklum balas daripada peminat amat memberangsangkan terutamanya daripada golongan penggemar muzik jalanan.
“Kami tidak menyangka melalui eksperimentasi dan kajian yang dibuat sebelum menghasilkan lagu berbentuk penceritaan itu mendapat sambutan dalam kalangan golongan muda kini.
“Insya-Allah, kami akan meneruskan perjuangan AhmadAhmad memandangkan kami berasa selesa dan bebas untuk menghasilkan muzik mengikut citarasa kami sendiri,” ujarnya.
Bercerita mengenai hala tuju AhmadAhmad, kata Pacai, dia dan Ahmad Hadi kini sedang sibuk melakukan promosi single terbaharu mereka yang berjudul, Dah.
“Disebabkan kami membawa konsep bebas dan bersifat lebih dinamik, jadi saya merasakan tidak menjadi masalah kepada kami untuk mengikut peredaran arus semasa muzik tempatan.
“Buat masa sekarang, kami cuba mengekalkan apa yang sudah dilakukan. Bagi kami, apa yang lebih penting adalah keikhlasan dalam penghasilan sebuah karya,” katanya.
Selain itu menurutnya lagi, kini AhmadAhmad sedang sibuk dalam proses untuk menerbitkan album yang dijangka muncul menjelang hujung tahun ini.