Eoon Suhaini Diganggu Penonton LYMA



Gara-gara menyiarkan nombor telefonnya di episod pertama 'Love You Mr. Arrogant' (LYMA), pengarah drama ini, Eoon Suhaini sehingga kini diganggu oleh penonton-penonton drama bersiri tersebut.

"Ada satu babak yang melibatkan antara Zara Zya dan Azlee Khairi di mana Azlee meminta nombor telefon Zara. Saya bertanyakan kepada krew yang lain, adakah mereka ada membeli nombor telefon simpanan yang tidak digunakan kerana kita tidak boleh meletakkan sebarang nombor telefon. Akhirnya, saya memutuskan untuk menggunakan nombor telefon saya sahaja," kata Eoon.

"Tak sangka pula, ramai orang yang menghubungi nombor tersebut dan mereka ingatkan itu nombor telefon Zara. Ada yang menelefon dari Indonesia, Dubai dan banyak lagi kerana mereka menonton LYMA menerusi portal Tonton. Sehingga sekarang mereka masih menghubungi saya," ujar Eoon mengakui turut mengambil kesempatan mendapatkan maklum balas daripada penonton-penonton terbabit.




Mengulas mengenai drama arahannya yang berjaya merangkul anugerah utama iaitu Drama Pilihan, dia tidak menjangkakan perkara tersebut kerana drama LYMA merupakan drama pertamanya yang mendapat sambutan sangat hangat.

"Sebelum ini saya pernah mengarahkan 'Diandra' dan LYMA merupakan drama kesembilan arahan saya. Ini merupakan drama pertama saya yang mendapat sambutan yang sangat hangat. Saya bersyukur dengan anugerah ini," katanya.

"Mungkin ini adalah berkat untuk saya yang melibatkan diri dalam dunia produksi drama semenjak dari bawah. Saya pernah buat air, jadi orang teknikal, penolong pengarah dan akhirnya pengarah. Saya sudah bermula dari tahun 1995," kata Eoon lagi mengakhiri bicara.
Previous Post Next Post