Erra, Awie, Ziana Cinta pentas jadi tarikan



Kisah cinta Erra Fazira dengan Awie yang bermula de­ngan lakonan mereka dalam filem Sembilu pasti menjadi perhatian peminat untuk menyaksikan Konsert Teaterikal Suara Kita yang bakal berlangsung di Istana Budaya dari 3 hingga 9 Mac ini.

Tambah pula ia turut menampilkan gandingan mantap pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Sembilu, Ziana Zain. Ia bagaikan meraikan kejayaan diraih 20 tahun lalu.

Perkara itu turut diakui mereka bertiga ketika ditemui di sesi fotografi khas bersama Selebriti, Metro Ahad, baru-baru ini.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, mengakui Sembilu dan Sembilu II yang pernah mereka bintangi serta kisah cinta mereka berdua satu ketika dulu menjadi tarikan peminat untuk menyaksikan pementasan muzikal ini.


Awie yang turut bertindak sebagai penerbit konsert berkata, bukan kisah cinta mereka berdua saja yang diberi tumpuan, sebaliknya filem dan lagu yang bakal didendang­kan mahu dikongsi dengan peminat.




Maklum saja dalam tempoh 20 tahun, peminat seusia dan sebaya atau membesar dengan Sembilu mempunyai nostalgia sendiri membabitkan filem mahupun kisah cinta mereka dulu.

“Bagi saya, hendak mengimbau cerita cinta antara kami saya anggap sebagai ‘lakonan’ tidak berjaya kerana pertunangan antara kami putus. Namun segala pengalaman dilalui, sama ada membabitkan perkara peribadi mahupun kerjaya, mendewasakan kami.

“Apatah lagi dalam kerjaya, kami semua meraih kejayaan dan Erra beberapa kali menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia dan saya menerusi pementasan teater juga pernah menang Pelakon Terbaik di BOH Cameronian Arts Award.

“Apabila yang terbaik digabungkan, ia menjadi lebih bagus. Pastinya cinta kami di atas pentas jauh lebih baik dan berjaya berbanding percintaan sebenar.

“Namun jangan salah sang­ka, apa yang saya tegaskan ini ­hanya membabitkan pementasan bakal dipersembahkan,” kata­nya.

Melihat pada sudut lebih positif, Awie berharap gabu­ngan persembahan bersama dua nama besar itu paling ditunggu kerana mereka sudah lama tidak mengadakan persembahan bersama, terutama Erra.

“Saya mengharapkan kisah percintaan kami dulu tidak terlalu digembar-gemburkan sehingga menimbulkan cerita kurang enak. Tambah pula kami punya kehidupan masing-­masing dan keluarga.

“Begitupun andai ada yang bercakap mengenainya, saya tidak dapat mengelak kerana filem yang kami bintangi sebelum ini pernah menjadi fenomena,” katanya.

Kata Awie, pada persembahan Konsert Teaterikal Suara Kita, sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan. Ia tidak menceduk filem Sembilu secara keseluruhan, sebaliknya jalan cerita dibina berdasarkan lagu yang bakal didendang.

“Yang penting, ia memberikan peminat kesudahan ­kepada apa yang berlaku kepada kami dalam filem itu. Antara lagu yang bakal didendang ialah lagu solo dan duet antara ­pelakon seperti Senja Nan ­Merah, Bara, Kekal, Pertemuan, Ukiran Jiwa dan Cinta Abadi.

“Satu lagu baru duet antara saya dan Erra juga akan diperkenalkan dalam pementasan itu,” katanya.

Bagi Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 46, semua yang terbabit ­dengan Konsert Teaterikal Suara Kita bersikap terbuka dengan ­meletakkan apa yang pernah berlaku antara mereka sebelum ini ke tepi, sebaliknya ­lebih ­memikirkan apa yang dapat diberi kepada penonton yang membeli tiket untuk menyaksikan mereka.

“Bayangkan kami sudah lama tidak bertemu. Tambah pula filem Sembilu pernah menjadi fenomena pada awal 1990-an. Untuk pementasan ini, filem yang pernah kami bintangi akan diberi wajah baru apabila Erma Fatima menyusun dan menulisnya kembali.

“Sebagai pelakon dan pe­nyanyi yang pernah terbabit dengan filem popular itu, tentu ia sesuatu yang bakal memberi keseronokan untuk dipersembahkan kembali,” katanya.

Ibu empat anak iaitu Muhammad Aiman, Muhammad Ammar, Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh ini akui pertemuan mereka seperti diatur apabila harus menunggu hampir 20 tahun untuk bergabung kembali dan membuat persembahan khas.

Katanya, dia anggap ia sebagai rezeki untuk mereka bertemu dan membuat persembahan khas untuk peminat filem Sembilu.

“Kalau sebelum ini Awie tawarkan saya menjayakan konsert ini, pasti saya tidak dapat melakukannya kerana kesibukan menguruskan suami dan anak.

“Maklumlah, sebagai ibu yang turut bekerja sebagai ­penyanyi dan pelakon, untuk melaksanakannya, hati kena cekal memandangkan hari saya bermula jam 6.15 pagi hingga jauh malam.

“Waktu itu tiada ruang untuk saya melakukan kerja lain, apatah lagi melakukan pementasan yang me­ngambil masa panjang seperti ­konsert ini. Pada saya, apa yang kami lakukan ini ­datang tepat pada masanya kerana anak saya sudah besar.

“Mereka boleh berdikari dan paling kecil pun usianya mencecah lima tahun dan tidak memerlukan pemerhatian penuh seperti mana mereka kecil dulu,” kata­nya.

Walaupun pelbagai andaian dibuat, mereka yakin ia akan ber­akhir dengan positif. ­Apatah lagi perancangan ­pengakhiran itu ada kejutan bakal dibuat dan mungkin juga ­setiap pelakon ­muncul dengan anak masing-masing apabila pementasan ­tamat.


Erra fokus kerja

Kes perceraian yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 18 Februari lalu tidak sedikit pun mengganggu tumpuan Erra Fazira menjalani sesi latihan sebagai persediaan menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita.

Sebaik selesai kes perceraiannya, Erra menghadiri rakaman Primadona pada sebelah petang dan sebelah malamnya pula sesi latihan Konsert Teaterikal Suara Kita bersama Awie dan pengarahnya, Erma Fatima.

Malah, Erra tidak mampu lari dari media yang cuba mendapatkan kenyataannya. Selebriti berpeluang mendapatkan komen Erra ketika ditemui selepas rakaman Primadona, Rabu lalu.

Keputusan membabitkan hak penjagaan anak sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 18 Februari lalu mendapat pelbagai reaksi apabila Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39, mendapat hak penjagaan Engku Aleesya manakala Erra masih berpeluang bersama anak kesayangannya setiap Ahad dan Isnin, cuti persekolahan dan perayaan secara bergilir-gilir.

Kata Erra, dia mengambil pendirian tidak mahu memberi komen membabitkan punca perceraian dan hak penjagaan anak. Apa yang boleh dikatakannya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Mengenai hak penjagaan anak, lebih baik jika saya tidak memberi komen kerana ia bakal menyentuh banyak hati. Pada saya, ia perkara peribadi, biar apa juga masalah timbul, saya bincangkan bersama keluarga,” katanya.

Sebagai pasangan bercerai, ramai pihak memberi tumpuan kepada anak. Dalam kes membabitkan Erra dan Emran, mahu atau tidak, peminat setia pelakon yang mendapat jolokan primadona filem Melayu alaf baru itu turut bersimpati dengan apa yang bakal dilalui anak mereka Aleesya.

Kata Erra, dia berpegang kepada prinsip tidak mahu memberi komen dan tidak berhasrat berkongsi apa saja perkara membabitkan anaknya.

“Saya tahu peminat mahupun umum sangat prihatin apabila perkara ini berlaku, tapi waktu sama saya mengharapkan mereka menghormati prinsip saya.

“Saya tidak mahu membuka cerita mengenainya. Mengenai anak kami, biar kami fikirkan cara terbaik untuk menanganinya.

“Saya harus fokus dan memikirkan masa depan. Matlamat saya sekarang sebagai ibu adalah membahagiakan Aleesya. Kisah sedih saya biar saya ‘masuk dalam buku’ saya sendiri.

“Bagaimana hendak menangani Aleesya berdepan situasi ini, saya tidak berhasrat hendak berkongsi mengenainya,” katanya.

Pastinya perceraian kedua Erra mencengkam perasaannya. Adakah Erra fobia dengan institusi perkahwinan? Menjelaskan mengenainya, Erra yang popular dengan lagu Pasrah dan Yang Indah Hanya Sementara berkata, dia tidak mahu memikirkan soal itu.

“Hendak kata fobia, pada saat ini saya tidak pernah memikirkannya. Lagipun apa yang berlaku adalah suratan takdir.

“Sebagai umat Islam, kita harus percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Adalah lebih baik jika saya tidak me­ngungkap kata bahawa saya fobia atau apa saja.

“Seperkara lagi, sekarang ini apa saja kenyataan yang saya beri membabitkan isu perceraian, ada pihak bersikap keterlaluan dengan memberi komen negatif. Pada saya, ada baik­nya saya tidak terlalu membicarakan mengenainya,” katanya.
Previous Post Next Post