Pelakon popular, Erra Fazira mengakui dia berasa lega apabila spekulasi tentang rumah tangganya berakhir hari ini setelah dia sah diceraikan dengan talak satu oleh Engku Emran Engku Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Jelas heroin filem ‘Sembilu’ ini lagi, dia bersyukur kerana semuanya telah diselesaikan dengan baik.
Ketika prosiding mahkamah pagi tadi, Erra memberitahu dia mengambil keputusan untuk menfailkan perceraian kerana mendapati perkahwinan mereka sudah tidak ada persefahaman.
Dalam pada itu, hak penjagaan anak tunggal mereka, Engku Aleesya, 5, diberikan sepenuhnya kepada Engku Emran. Manakala Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan.
Erra juga tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya itu.
Pasangan ini mendirikan perkahwinan pada 25 Oktober 2007. Kira-kira dua tahun lalu, kisah rumah tangga pasangan ini hangat diperkatakan apabila timbul gosip yang mengatakan Engku Emran telah memadukan Erra.
Biarpun Erra mengunci mulutnya, namun Engku Emran akhirnya mengadakan satu pertemuan dengan pihak media bagi menafikan semua desas-desus. Jelas Engku Emran ketika itu, Erra cukup lengkap dan sempurna di matanya sebagai seorang isteri, ibu kepada Engku Aleesya dan membahagiakannya sebagai seorang suami.