JIKA selama ini, kita barangkali sudah biasa dihidangkan dengan filem adaptasi atau animasi yang pernah dilihat di dalam komik. Namun berbeza kali ini, Warner Bros Pictures mengangkat satu permainan kanak-kanak yang cukup popular di seluruh dunia ke layar perak.
Ia tidak lain adalah set permainan blok yang dikenali sebagai Lego. Filem ini juga diilhamkan daripada set permainan Lego yang berkisarkan mengenai tempat pembinaan.
Filem yang diarahkan oleh Phil Lord dan Chris Miller ini mengisahkan Emmet, satu patung mini Lego biasa, patuh pada undang-undang dan sederhana terlibat dalam kes salah identiti.
Dia dikenali sebagai patung yang paling luar biasa dan kunci untuk menyelamatkan dunia.
Dia direkrut ke dalam kumpulan orang yang tak dikenali dalam perjalanan menghentikan orang zalim.
Emmet tiada sebarang persediaan untuk perjalanan tersebut dan ini menjadikan proses tersebut tiada harapan.
Menariknya mengenai filem ini, ia bukan sahaja sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak, bahkan golongan dewasa turut tercuit hati dengan karakter Lego yang begitu comel.
Ternyata, hanya dengan sebuah produk plastik, ia menjadi sebuah filem yang cukup menarik dan luar biasa.
Bukan hanya menampilkan karakter biasa seperti watak lelaki yang bekerja di tempat pembinaan, filem ini juga menampilkan adiwira-adiwira yang sudah biasa kita lihat seperti Batman, Superman, Wonder Women, Green Lantern, dan paling menarik
sekali, ia turut menyelitkan karakter Abraham Lincoln dan William Shakespeare yang hanya dibuat menerusi Lego sahaja.
Malah, jika anda terfikir apa yang akan berlaku sekiranya semua adiwira bergabung seperti filem Avengers, anda juga patut menonton filem ini.
Apatah lagi, karakter Emmet yang digambarkan sebagai blur dan lurus bendul menambahkan lagi komedi di dalam filem ini.
Aksi menarik
Bukan itu sahaja, filem ini juga turut menampilkan babak aksi yang pastinya amat menarik, lebih-lebih lagi jika ditonton dalam versi 3-Dimensi (3D).
Dengan bantuan Imej Janaan Komputer (CGI), filem ini tampak real, biarpun ia sekadar filem animasi.
Malah, dengan menyelitkan beberapa teknologi di dalam filem ini, The Lego Movie tidak ubah seperti sebuah filem Hollywood yang dilakonkan oleh orang-orang sebenar.
Apatah lagi, ia melibatkan suara pelakon-pelakon hebat seperti Chris Pratt, Will Arnett, Channing Tatum, Elizabeth Banks, Morgan Freeman, Alison Brie dan Will Ferrell.
Plot mengganggu
Bagaimanapun, sedikit kelemahan dalam filem ini menjurus kepada pergerakan plot yang tidak konsisten. Adakala The Lego Movie adalah sebuah filem yang menarik, dan adakalanya sedikit membosankan.
Malah kerana melibatkan banyak watak di dalam filem ini, ada beberapa karakter tidak dikembangkan dengan baik dan kehadiran mereka seolah-olah hanya melengkapkan jalan cerita atau cukup syarat sahaja.
Namun, kelemahan tersebut tidaklah terlalu ketara kerana pada pendapat penulis, filem ini masih berbaloi dan sesuai ditonton bersama seisi keluarga.
The Lego Movie
PENGARAH: Phil Lord, & Chris Miller.
PELAKON: Chris Pratt, Will Arnett, Channing Tatum, Elizabeth Banks, Morgan Freeman, Alison Brie & Will Ferrell.
GENRE: Aksi/Komedi/Animasi
DURASI: 1jam 40minit
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 06 Feb 2014
Trailer