Sebelum ini pelakon tinggi lampai, Hanez Suraya, 28, ada berkongsi dengan GUA tentang buah hati terbarunya, seorang jejaka berusia 30-an. Hanez juga ada menjelaskan yang dia juga sudah mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman bujangnya bersama jejaka terbabit.
Namun, enggan bercerita lanjut. Bagaimanapun, ketika menghadiri sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru -baru ini, Hanez tampil dengan kenyataan berbeza.
Jelas Hanez, dia dijangka bakal mendirikan rumah tangga bersama kekasih hatinya selepas tamatnya pementasan teater ‘Projek Kahwin’ yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini di Istana Budaya. Tetapi, Hanez yang menyulam kasih dengan jejaka yang hanya mahu dikenali dengan nama Mr. R itu masih mahu merahsiakan tarikh sebenar hari bahagianya. Mr. R merupakan seorang ahli perniagaan dalam bidang pembinaan dan berusia 34 tahun.
“Tarikhnya sudah ada, sekarang tinggal mahu cari tempat sahaja. Untuk tarikh spesifik, saya masih belum boleh dedahkan tetapi saya jangkakan ianya mungkin selepas pementasan teater lakonan saya di Istana Budaya, atau mungkin beberapa bulan selepas itu. Apa yang pasti, perkahwinan saya bakal berlangsung selepas pementasan teater tersebut. Tarikh sebenar, saya belum mahu dedahkan, biar saya rahsiakan dahulu,” ujar Hanez yang masih berteka-teki.
Memandangkan Hanez baru tiga bulan menyulam kasih bersama jejaka tersebut, Hanez dilihat sangat mudah berkongsi kisah peribadi kepada pihak media dan juga peminat-peminat. Mengapa agaknya?
“Sebagai seorang selebriti, saya harus berkongsi dengan semua. Saya takut mengundang fitnah. Apabila saya keluar dengan si dia, orang akan bertanya. Jadi baik saya kongsi sahaja. Bagi saya, perkara baik, buat apa saya mahu sorok. Namun begitu, saya enggan berkongsi keseluruhan cerita mengenai kami kerana saya enggan mengulangi kesilapan yang lalu, takut jodoh itu tiada. Tetapi apa pun, tujuan saya berkongsi adalah kerana saya sudah serius dalam perhubungan bersama si dia dan kami sudah bersedia untuk ke fasa seterusnya,” tutur Hanez.
Mengulas mengenai kenyataan bekas kekasihnya, Awi Rafael yang gembira apabila mendapat tahu dia bakal mendirikan rumah tangga, Hanez menjelaskan tiada sengketa yang berlaku antara dia dan bekas kekasihnya itu.
“Saya dan Awi profesional. Kami tidak bermusuh walaupun sudah tiada sebarang hubungan. Jika ada projek bersama yang menggandingkan saya dan Awi, kemungkinan saya tiada masalah untuk menjayakannya. Tetapi semuanya bergantung dengan persetujuan teman lelaki saya. Jika dia tiada masalah, saya okay sahaja,” ulas Hanez lagi.
Dalam perkembangan lain, drama ‘Autumn di Hatiku 2’ lakonan Hanez bersama Kim Jin Sung, Ezzaty Abdullah, Amran Ismail, Youmie Robert dan Iedil Putra bakal menemui penonton pada 27 Februari ini menerusi portal video nombor satu Malaysia, www.tonton.com.my