Kul It! versi Atai

Demi mengejar impian menjadi pe­nyanyi profesional di samping mengembalikan semula nostalgia lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, anak saudaranya, Atai sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai Naib Presiden Pos Malaysia.

Atai atau nama sebenarnya, Razman Azrai Zainudin, 41, mengakui keputusan diambil selepas berfikir masak-masak atas nasihat yang pernah diberikan Allahyarham.




Menurut bapa kepada dua cahaya mata ini, dia yakin bidang muzik yang ditinggalkan sejak 1985 itu mampu menaikkan semula namanya.

“Allahyarham pernah beritahu, dia percaya dengan kebolehan saya dan yakin mampu pergi jauh. Jika beliau sendiri yakin dengan saya, kenapa saya tidak berbuat demikian?.


YAKIN keputusan berhenti kerja tidak sia-sia.


“Saya percaya de­ngan setiap kerja yang dilakukan dan pada masa sama tidak boleh melakukan dua bidang yang berbeza serentak. Hampir tiga tahun saya berfikir mengenai perkara ini.


“Selepas berfikir sedalam-dalamnya saya nekad meletakkan jawatan di Pos Malaysia berkuat kuasa Januari lalu dan barulah sekarang dapat memberi tumpuan pada bidang nyanyian,” katanya.

Memilih lagu Kul It ! ciptaan Allahyarham Sudirman sendiri bersama Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan dan Habsah Hassan, kini ia diberi nafas baru di mana lagu berkenaan disusun semula komposer Daniel Veerapen.

Mempunyai alasan kenapa memilih lagu itu, Atai berkata, dia berpegang pada kata-kata Allahyarham iaitu lagu Kul It! tidak bermusim dan ia boleh diperdengarkan tanpa perlu mengikut zaman. Sampai bila-bila orang akan nyanyi dan ingat. Malah di mana-mana saja lagu berkenaan boleh di­nyanyikan.

“Sebagai pe­ngenalan, saya menyanyikan semula lagu popular Allahyarham berjudul Kul It!. Saya akui tidak boleh lari daripada tempias Allahyarham dan mungkin orang akan menyamakan saya dengan arwah.

“Justeru, walaupun lagu berkenaan di susun semula muziknya tidak jauh beza kerana saya mahu peminat kembali mengi­ngati lagu-lagu popularnya.

“Namun begitu, saya juga mempu­nyai cara sendiri dalam nya­nyian walaupun hakikatnya tidak boleh lari daripada bayang-bayang arwah Sudirman. Saya juga yakin lagu Kul It! mudah diingat dan muziknya juga tidak terlalu keras,” katanya.

Dalam pada itu, Atai turut diberi penghargaan menjadi duta produk minuman Yakult bersama Fara Fauzana.

“Saya kembali ke dalam industri dengan penuh misi dan strategi. Saya yakin selain diberi peluang menjadi duta Yakult, peminat setia lagu Kul It! sudah ada.

“Kerana itulah saya mahu memastikan sentiasa ada produk lagu baru selepas ini dan bukan bersandarkan lagu-lagu nyanyian bersama Allahyarham Sudirman semata-mata,” katanya.
Previous Post Next Post