KUALA LUMPUR, 19 FEB 2014: Bekas Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dua kali berturut-turut, Asmawi Ani atau Mawi mengakui agak gementar untuk membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH2013 pada April ini.
Perkara itu diberitahu Mawi sendiri kepada portal murai.com.my selepas majlis pengumuman pengacara dan penyampai anugerah berkenaan di Hotel Royale Chulan di sini, petang semalam.
Namun kata penyanyi kelahiran Kulai, Johor itu, perasaan demikian adalah lumrah buatnya walaupun sudah banyak kali membuat persembahan di hadapan khalayak, sama ada persembahan berkskala kecil mahupun besar.
“Perasaan gementar itu normal. Terutama apabila untuk mendapatkan semula sambutan penonton kerana sudah agak lama saya tidak beraksi dipentas ABPBH,” katanya ringkas apabila ditanya perasaannya untuk kembali menggegarkan pentas anugerah popular berkenaan.
Kali terakhir Mawi membuat persembahan di pentas ABPBH iaitu ketika penganjuran ABPBH 2007 yang diadakan pada April 2008.
Bercerita mengenai persembahannya pada anugerah berkenaan,Mawi berkata kali ini dia akan tampil bersama-sama Dato’ AC Mizal untuk lagu popular mereka Al-Haq.
Tambahnya lagi, dia amat bersyukur kerana lagu berkenaan telah mendapat perhatian ramai lantas telah dipilih oleh pihak penganjur ABPBH untuk menyerikan malam gilang-gemilang yang bakal dihadiri ramai selebriti popular tanah air.
“Sudah lebih setahun saya tidak terbabit dengan persembahan besar seperti ini kerana saya memberi fokus sepenuhnya kepada bidang perniagaan yang Alhamdulillah semakin mendapat sambutan ramai.
“Sebelum ini saya pernah tampil dengan lagu Menanti Hikmah dan Termolek tapi impaknya tidak sekuat lagu Al-Haq.
“Alhamdulillah semuanya masih dalam perancangan dan saya bersama AC Mizal sudahpun duduk berbincang untuk persembahan kami itu nanti terutama untuk menyesuaikan dengan tema Magis Alam majlis itu,”katanya yang semakin sibuk menguruskan perniagaannya di bawah label Unequeun.
Kata Mawi, dia akancuba membawa tema kerohanian dalam persembahannya itu nanti bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berkenaan tema itu bagi mewujudkan elemen kejutan kepada penonton yang datang pada majlis anugerah itu nanti.
Bagaimanapun Mawi berkata, dari sudut pakaian, dia akan memberikan sepenuh kepercayaan kepada isterinya Ekin bagi mencipta persalinannya supaya sesuai dengan tema acara dan lagu berkenaan.
“Saya akui kelebihan dan bakat isteri saya dalam soal mereka mencipta pakaian. Dia memang pakar dalam soal ini, oleh kerana itu saya serahkan sepenuhnya kepada Ekin.
“Dia ada idea dan pandai melakar pula. Dialah pereka fesyen untuk pakaian saya di ABPBH nanti. Semua keperluan sudah ada termasuk idea dan juga mesin jahit,” katanya positif.