Mila Jirin berprinsip



TIDAK selesa untuk meraih simpati dengan mana-mana pihak untuk mengembalikan zaman kegemilangannya yang pernah dilalui kira-kira tujuh tahun lalu, Mila Jirin reda andai graf perjalanan seninya semakin perlahan.

Menganggap situasi itu merupakan resmi kehidupan seorang anak seni kata penyanyi berusia 27 tahun ini, dia juga akur andai popularitinya semakin pudar pada waktu ini.

Asalkan karier nyanyian belum terkubur, Mila menegaskan yang perlu dilakukan pada hari ini adalah bijak membuat perancangan agar jenama dirinya itu kekal.

"Hidup saya berprinsip. Saya tak pandai meminta bagi memastikan sentiasa ada tawaran kerja. Kalau tak ada rezeki di situ, tak mengapa. Kenalah cari rezeki lain.

"Bukan saya berlagak tapi saya tak mahu kelihatan terdesak. Sebab saya percaya jika kita kuat kerja, pasti ada ganjaran menanti," tegas Mila pada berhubung karier nyanyiannya.




Mila merupakan juara wanita pertama yang diangkat menerusi pertandingan realiti nyanyian, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007.

Mengulas tentang namanya yang semakin sepi anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini memberitahu dia masih aktif menyanyi dan menerima banyak tawaran persembahan pada majlis-majlis tertutup.

Tanpa kehadiran pihak media yang membuat liputan kata Mila, itu antara faktor yang mengundang persepsi mengatakan dirinya seakan-akan tidak lagi berada pada arus perdana pentas nyanyian tanah air.

Tidak mahu terlalu bergantung hidup kepada pendapatan sebagai penyanyi Mila memilih bidang perniagaan sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan.

Mengusahakan produk kecantikan, pengurusan majlis dan yang terbaharu membuka Restoran Embun Urai di Taman Prima Puchong, Selangor kata Mila, itu adalah fokus utamanya pada hari ini.

"Alhamdulillah... bisnes saya semuanya berjalan lancar," kata pelakon yang sedang giat mempromosikan filem lakonannya, Kami Histeria yang kini ditayangkan di pawagam.

Berjimat

Berbicara tentang perancangan untuk meneruskan penerbitan album bahasa Inggeris yang dikatakan tergendala kerana masalah kewangan Mila berkata, sememangnya dia berharap agar albumnya yang diusahakan dengan seorang penerbit di United Kingdom (UK) sejak 2012 itu berjalan lancar.

Biarpun terpaksa memendamkan hasrat tersebut buat seketika Mila mengakui dia kini sedang membuat perancangan rapi untuk mencari sejumlah wang bagi merealisasikan impiannya itu.

"Proses rakaman lagu sudah selesai. Cuma nak buat klip video saja. Jadi saya perlu ke sana untuk selesaikannya.

"Tapi masalahnya adalah kekangan wang. Kena sediakan kira-kira RM80,000 untuk membiayai kos logistik termasuk penginapan dan sara hidup untuk tempoh enam bulan. Jumlah wang yang diperlukan itu memang besar. Itu yang buat saya berfikir banyak kali," cerita Mila tentang pelaburan album Inggerisnya yang menggunakan duit poketnya sendiri.

Kekasihku ahli perniagaan

SENGAJA mengusik tentang siapa teman lelakinya, Mila memberitahu dia sedang mengenali seseorang yang merupakan kawan zaman sekolahnya.

"Dah ada buah hati dah sekarang. Dia seorang ahli perniagaan. Dah lama kami kenal cuma hubungan itu serius sejak akhir-akhir ini.

"Pun begitu saya tak berani nak cakap lebih-lebih. Perkara ini masih dalam perbincangan. Kalau tak jadi, malulah," kata Mila berhubung kisah cintanya.

Enggan mendedahkan identiti lelaki yang dicintai itu kata Mila, cara itu lebih baik kerana bimbang niatnya disalahertikan andai terlalu awal memperkenalkan si dia kepada khalayak.

Yang pasti dia akan mengkhabarkan berita gembira kepada semua terutama peminatnya jika hubungan cintanya itu sampai ke jenjang pelamin satu hari nanti.
Previous Post Next Post