Mon Ryanti Sudah Ada Calon Suami


Pelakon dan penyampai radio Ultra, Mon Ryanti, 26, bakal menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini bersama kekasihnya, Mohd Hasrul Ali, 26. Mereka kini sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

"Saya bakal menamatkan zaman gadis pada tahun ini bersama Hasrul. Dia bekerja sebagai seorang ahli perniagaan. Sekarang persiapan perkahwinan kami sudah siap sebanyak 30 peratus. Majlis bakal berlangsung di kampung halaman saya di Johor. Nanti saya akan beritahu tarikh majlis berlangsung," tutur Mon kepada GUA.

Mengulas mengenai ciri-ciri Hasrul yang membuatkan Mon tertarik dengan kekasihnya itu, dia menjelaskan Hasrul adalah seorang jejaka yang menyenangkan.

"Kami sudah berkenalan selama lebih kurang dua tahun lamanya. Dia merupakan kawan kepada abang saya. Saya mula berkawan dengan Hasrul apabila dia membeli kuih raya yang saya jual semasa bulan puasa dua tahun dahulu. Saya selesa dengan Hasrul kerana dia seorang jejaka yang mengambil berat, hormat kepada keluarga saya dan sentiasa ada dengan saya tidak kira apa situasi pun," ujar Mon lagi.




Bertemu dengan Hasrul pula, dia menjelaskan yang dia terpikat dengan pelakon filem 'Bro Mana Motor Gua?' ini kerana sikapnya yang matang.

"Saya begitu selesa dengan Mon. Dia seorang gadis yang matang dan gila-gila. Sebelum ini, saya tidak tahu yang Mon adalah seorang selebriti. Apabila saya tahu dia seorang pelakon, pada mulanya saya rasa macam tak biasa. Tapi lama kelamaan keadaan jadi okay sahaja," ujar Hasrul yang menemani Mon ke Majlis Tayangan Perdana Filem 'Pompeii' Bersama Penyampai Ultra di GSC Mid Valley pada Rabu.
Previous Post Next Post