APA yang tak pernah diharungi oleh gadis ini? Sejak pertama kali menjejakkan diri di dalam industri seni, pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepadanya.
Pada ketika namanya mula meladak satu persatu cerita negatif hadir dan tidak pernah berakhir. Enggan memikirkan kata-kata orang yang memandang buruk terhadap dirinya, Neelofa sedar itu asam garam sebagai anak seni.
Terbaharu namanya kembali panas apabila pakaian yang dipakai semasa mengacarakan Anugerah MeleTOP Era 2014 menjadi viral sehingga menyebabkan dirinya dikecam dengan kata-kata kurang enak oleh peminat.
Namun paling terkesan apabila namanya terpalit dengan fitnah terbesar yang dilemparkan sesetengah pihak akhir Disember lalu.
Fitnah khalwat yang cukup mengaibkan itu benar-benar berbekas di hatinya.
Meskipun peristiwa tersebut hampir dua bulan berlalu, lukanya masih ada. Bagi wanita yang menginjak usia 25 tahun pada 10 Februari lalu, sukar untuknya melupakan perkara tersebut.
"Belum masuk tahun baru mereka fitnah saya ditangkap khalwat. Saya tak tahu siapa punya kerja tetapi apa yang dikatakan itu tidak benar sama sekali.
"Kalau awak menuduh saya dengan cerita lain tak mengapa tapi fitnah ditangkap khalwat ini melibatkan seluruh keluarga.
"Bagaimana ibu bapa dan keluarga besar saya nak menghadapinya?
"Sudah tentu perkara ini meragut jiwa mereka kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai macam soalan daripada pihak lain," luah Neelofa kepada Pancaindera.
Sedih dengan gosip yang mencalarkan maruahnya itu, Neelofa juga tertanya-tanya mengapa ada pihak yang kurang senang dengan dirinya sejak bergelar artis.
Malah pelbagai cerita yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu merupakan kisah karut yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dirinya.
Tidak pernah kalah dengan tuduhan dan fitnah tersebut Neelofa hanya mengharapkan mereka agar Allah membuka rasa kasih sayang sesama manusia dan tidak terus menggelapkan hati-hati mereka untuk terus bergelumang dengan dosa.
Tak peduli
Empat tahun bergelumang dengan cabaran di dalam usaha menaikkan namanya, Neelofa yakin masih ada pihak yang sayang kepada dirinya.
Baginya fokus utama bukan untuk menghadap cerita-cerita karut tetapi untuk mengembangkan potensi diri.
"Hidup kita sebenarnya indah jika kita buang perasaan hasad dengki dan rasa cemburu pada orang lain. Tak perlu memikirkan kelebihan dan kekurangan orang sedangkan diri sendiri pun tak sempurna.
"Kadang-kadang saya sendiri tak faham mengapa ada lagi orang kurang senang dengan saya. Tak kisah sama ada dia artis atau orang lain sebab saya sendiri tak pedulikan mereka.
"Saya anggap sesiapa sahaja yang cuba mereka-reka cerita, mengata dan menyebarkan fitnah ini sebagai orang yang tak ada kerja dan tak boleh melihat kesenangan orang lain.
"Life is bigger than that. Nista mereka terlalu kecil untuk saya layan," katanya lagi.
Pelakon filem Lemak Kampung Santan ini juga mempersoalkan mengapa mereka perlu membuat kerja sia-sia untuk menjatuhkan dirinya.
Jika ada yang mahu melihat dirinya merana akibat fitnah tersebut, mereka tidak akan berjaya kerana dia sudah lali untuk berhadapan dengan situasi seperti itu.
"Sama juga yang berlaku di laman sosial seperti Instgram, Facebook mahupun Twitter. Kebanyakan peminat hari ini menggunakan medium tersebut untuk menjatuhkan kredibiliti orang, menabur fitnah dan berlagak baik.
"Lagi canggih teknologi lagi cepat mereka sebar fitnah. Semoga saya tidak termasuk di dalam golongan seperti itu," tegas pengacara program MeleTOP ini.
Tambah harta
Melihatkan perkembangan kerjaya seni gadis ini, tidak dinafikan rezekinya lebih tertumpu kepada bidang pengacaraan selain menjadi duta beberapa produk seperti jenama tilam King Koil dan aplikasi LINE Malaysia.
Selain itu dia juga sibuk mempromosikan produk BellaVita yang merupakan perniagaan keluarga yang diusahakan bersama kakak dan ibunya.
Dikatakan menjadi sudah memegang status jutawan pada usia yang masih muda, dia sebenarnya enggan mengulas panjang mengenai perkara yang pernah dibangkitkan satu ketika dahulu.
"Saya anggap ini merupakan tahun untuk saya menambah kewangan dan mengumpul harta sebanyak mungkin. Pada usia begini sudah pasti lebih banyak cabaran yang saya kena tempuhi.
"Mungkin orang anggap usia begini saya lebih banyak berseronok dan mencuba benda baru. Nak seronok sampai bila kalau tak berusaha untuk mencari kehendak sendiri.
"Saya hanya berusaha untuk menambah aset dengan berlakon pada masa hadapan selain mengembangkan perniagaan keluarga untuk berjaya. Tak mahu usaha sekerat jalan dan tinggalkan begitu sahaja," luahnya.
Akui Neelofa, tiada siapa yang mahu hidup susah tetapi prinsip hidupnya dia enggan mengharapkan lelaki kaya untuk menyara diri seperti yang berlaku kepada kebanyakan yang lain.
"Ada orang nak cari suami kaya dan tanggung hidup mereka. Saya tak macam itu. Saya nak berusaha sendiri dan saya tidak mahu bergantung hidup kepada orang," tegasnya penuh makna.
Lakonan
Walaupun hanya mengikuti kelas lakonan jangka pendek selama sebulan di Amerika Syarikat (AS), Neelofa menganggap pemergiannya ke sana begitu mengujakan.
Dia mengikuti kursus pendek di New York Film Academy (NYFA) sepanjang Januari lalu.
Namun ada juga yang mempersoalkan adakah cukup tempoh masa yang cukup singkat itu untuknya mempelajari banyak perkara?
"Bila saya ke sana pun orang tetap nak mengata. Tak mengapalah sebab mereka memang macam itu, tak boleh tengok orang berjaya. Saya tak kisah pun sebab dah kalis dengan kata-kata orang.
"Saya ke sana pun atas inisiatif sendiri untuk mendalami ilmu lakonan. Dulu masa mula-mula berlakon tak ada asas pun, hanya belajar sikit-sikit daripada pengarah dan rakan artis.
"Bila di sana mereka ajar asas yang betul. Bagaimana nak mendalami watak, nak melontar suara pada watak yang berbeza yang sebelum ini saya tak diketahui pun.
"Tak salah nak kembali kepada asas sebab akhirnya saya akan gabung jalin dengan pengalaman yang sedia ada. Walaupun tempohnya pendek tapi begitu besar maknanya kepada orang macam saya.
"Sama ada jangka masa pendek atau lama bukan isu besar pun asalkan kita ada niat nak tambah ilmu. Tak rugi apa-apa pada saya," jelasnya.
Terbaharu pengacara program Nona itu bakal terlibat dengan filem Sinaran bersama-sama Lisa Surihani dan Hisyam Hamid. Filem arahan Osman Ali itu diterbitkan oleh syarikat dari Singapura dan menjalani penggambaran sepenuhnya di sana.
Selain itu dia juga masih menunggu tayangan filem Pilot Kafe dan Gengster Superstar yang dijangka tidak lama lagi.