Penjenamaan semula Nico



SEKITAR tahun 1993, single berjudul Inilah Nasibku menempatkan nama Nico sebagai kumpulan hip hop yang telah mencetuskan revolusi industri muzik tanah air.

Namun, pada tahun 1999 kumpulan Nico lenyap seperti dibawa arus yang deras. Kumpulan yang dianggotai tiga pemuda itu sepi daripada bidang nyanyian. Meskipun anggota Nico membawa haluan masing-masing tetapi lagu keramat Inilah Nasibku terus diputarkan di corong-corong radio.

Terbaru, trio hip hop yang masih mengekalkan ahli kumpulan yang sama sejak 23 tahun lalu itu iaitu Affa, Dino dan Nico kembali setelah sekian lama sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Sebelum ini, Nico, 42, sibuk dengan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, Affa, 39, menjual kereta import dan Dino, 40, berniaga.

Tahun ini, Nico menjenamakan semula kumpulan mereka sebagai Nico G.




"Huruf G itu bermaksud group. Jika dahulu kami dikenali sebagai Nico tetapi selepas 23 tahun, kami menukarnya kepada Nico G kerana merasakan telah mempunyai pengikut yang besar dalam kalangan peminat apatah lagi syarikat kami, Nico G beroperasi sejak setahun lalu.

"Perubahan nama itu merupakan satu trend. Setiap benda yang lama harus ditukar mengikut selera terkini agar nama, imej dan muzik kami relevan dengan arus muzik semasa," ujar Affa ketika ditemui pada majlis pelancaran album mini Nico G 2014 di Khadijah's Kitchen, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Suatu ketika, kumpulan Nico G pernah terkenal dengan lagu hit seperti Kaulah Gadisku, Rindu dan Untukmu Sayang.



Sekian lama tidak merakamkan lagu, Nico G cuba membawakan kelainan untuk single terbaharu mereka.

Kembali dengan material yang ditulis selama tiga bulan pada tahun 2013, Nico G tampil dengan single berjudul Belia Perwira. Proses penghasilan lagu berkenaan menggunakan khidmat enam orang komposer.

"Sebenarnya kami kembali bersatu pada tahun 2010, namun mengambil masa empat tahun untuk tampil dengan sebuah lagu baharu yang mengikut trend dan menepati cita rasa pendengar.

"Pada awalnya kami merakamkan hampir 10 buah lagu dan memilih Belia Perwira sebagai single yang ingin diketengahkan.

"Kami yakin muzik Nico G relevan dengan irama muzik sekarang malah rentak yang ditonjolkan dalam single terbaharu kami antara yang unik sebagai halwa telinga," tambah Affa.

Enam komposer yang terlibat dalam penghasilan lagu berkenaan termasuklah tiga orang daripada kumpulan Nico G sendiri manakala yang lain ialah Jeff Samad, Mail KB, dan Wan Namiron.

Kemasukan tiga komposer lain selain anggota Nico G itu sebagai satu insiatif agar penampilan semula Nico G lebih segar dan mudah diterima pendengar muzik.

Menurut Nico, Belia Perwira merupakan sebuah naskhah eksperimen daripada Nico G yang didedikasikan buat anak-anak muda terutamanya kepada mereka yang bakal menjadi perwira negara.

"Untuk lagu Belia Perwira kami memilih untuk berkolaborasi dengan Jeff A to Z dan Atilia.

"Kami memilih Atilia kerana keunikan suaranya begitu sinonim dengan kumpulan Nico G. Antara lagu yang menggunakan suara Atilia ialah Kau Dan Aku," ujar Nico.

Menurut Nico lagi, Nico G kembali ke dalam arena utama seni muzik tanah air bukan untuk mengembalikan semula populariti yang telah ditinggalkan atau ingin menjadi bintang, sebaliknya mahu mewarnai semula industri hiburan.

Mari Kita layan teaser lagu berjudul Belia Perwira
Previous Post Next Post