Qi Razali: Kena tunggu giliran kahwini Nellydia



SETIAP pasangan yang bercinta, pasti mengimpikan perhubungan mereka berkekalan hingga ke jinjang pelamin.

Begitu jugalah yang dirasai kini oleh Qi Razali atau nama sebenarnya, Qushairi Razali, 36. Apatah lagi, dalam usia yang semakin meningkat, dia mengakui mengimpikan untuk berkahwin secepat mungkin.

Bagaimanapun ujar Qi, dia dan kekasihnya, Nellydia Senrose, hanya akan merancang untuk berkahwin selepas kakak Nellydia iaitu Uqasha Senrose disatukan dengan kekasihnya, Pekin Ibrahim.

“Alhamdulillah setakat ini semua berjalan lancar dan jika anda tanya saya bila saya mahu kahwin, pastilah saya mahu kahwin segera apatah lagi umur saya bukan semakin muda.

“Tetapi saya dan Nelly kenalah tunggu giliran dan kita beri laluan kepada Uqasha dan Pekin disatukan dan selepas itu baharulah kami bincang tentang kami,” ujarnya.Tambah Qi, buat masa ini, dia dan
Nelly sibuk dengan penggambaran dan bermula bulan ini, Qi akan menjalani penggambaran bagi dua program travelog iaitu Destinasi Bajet Asia dan Art Attack serta sebuah program masakan.




“Bagi program Destinasi Bajet Asia saya akan merantau ke pelbagai negara seperti Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand. Kemudian saya akan berangkat ke Argentina untuk penggambaran program Art Attack musim keempat.

“Malah, Nelly sibuk dengan penggambaran dan masa kami membataskan kami untuk membicarakan tentang perkahwinan,” katanya yang baharu selesai menjalani telemovie Piring Hitam dan Tahun Baharu Luna.

Mohon maaf kepada Sharnaaz

Sementara itu, ditebak dengan tindakannya sebelum ini yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Sharnaaz Ahmad di laman sosial Twitter, Qi berkata, dia mengakui ia adalah kesilapan daripadanya dan mengaku telah bertindak secara melulu.

Katanya, tindakan itu dibuat dalam keadaan tertekan setelah Sharnaaz memuat naik gambar promosi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta bersama teman wanitanya, Nelly dengan kapsyen romantik.

“Saya ketika itu kurang sihat, kemudian ramai rakan yang bertanya dan menghantar gambar berkenaan kepada saya membuatkan saya terkejut serta tertekan sehingga bertindak meluahkan perasaan di Twitter.

“Memang saya faham tujuan dia (Sharnaaz) untuk mempromosikan drama tersebut. Gambar yang dimuat naik tidak salah dan saya tahu itu antara babak lakonan mereka, tapi kapsyen yang ditulis untuk gambar mereka berdua saya rasa tak patut.

“Namun, buat masa ini saya masih cuba menerima dan saya faham apa yang dilakukan Sharnaaz hanya sekadar tuntutan kerjanya dalam drama terbabit,” katanya.

Bagaimanapun kata Qi, salah faham itu selesai apabila dia menghubungi sendiri Sharnaaz dan memohon maaf atas tindakannya yang terlalu mengikut perasaan.

“Saya kira semuanya selesai dan saya sendiri menghubungi Sharnaaz untuk memohon maaf,” jelasnya.

Dalam pada itu, Qi berkata, dia akan tetap menyokong kerjaya Nelly sebagai seorang pelakon dan cuba memahami kekasihnya itu sebaik mungkin.Kahwini Nellydia?: 'Kena tunggu giliran
Previous Post Next Post