
Susulan daripada perkongsian status daripada akaun Instagram Mejar David Teo & Yana Samsudin, umum sedia maklum akan ‘pemergian’ pelakon wanita popular itu dari payung Metrowealth Pictures (MiG), syarikat produksi filem dan pengurusan bakat milik David yang telah mengatur haluan kerjaya Yana untuk 11 tahun lamanya.
Bukan senang untuk seseorang artis bernaung di bawah satu syarikat pengurusan sebegitu lama. Ini lantas menggambarkan kerjasama mesra yang telah terjalin antara pihak MiG serta Yana sendiri.
Seperti orang lain, GUA turut tersentak seketika dengan perkembangan terbaru karier Yana itu. Kesempatan bertemu dengan Shahezy Sam membuatkan GUA terfikir untuk mendapatkan komen pelakon lelaki popular ini memandangkan Sam sering kali bergandingan dengan Yana di layar perak seperti dalam 'Aku Ada Kau Ada', 'Dua Kalimah' dan '8 Jam', 'Bini-Biniku Gangster', 'Kongsi' dan 'Ngangkung'. Semua filem ini adalah terbitan MiG.
“Bagi Sam, apa sahaja langkah yang dilakukan oleh pihak Yana tentunya demi memastikan kesinambungan perkembangan karier beliau ke arah yang lebih baik. Sam pasti Yana mempunyai rancangan lebih besar agar bakat dan kehadirannya dalam industri seni lebih bersinar,” katanya yang turut berkongsi bahawa tiada sebab untuk dia terkilan dengan pemergian sahabatnya itu.
Saat ditanya jika ada kemungkinan untuk Sam menuruti langkah Yana meninggalkan MiG, Sam berkata bahawa situasi tersebut bukan sesuatu yang mustahil.
“Setiap pihak pengurusan akan menyediakan kontrak untuk dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Selain daripada sejumlah nilai wang, kontrak ini akan turut mengandungi rangka kerja yang akan digunakan untuk menyelia perjalanan karier setiap artis di bawah pengurusan mereka sepanjang tempoh kontrak tersebut. Bagi Sam, ia bergantung kepada tawaran-tawaran yang mampu diberikan oleh pihak pengurusan apabila sampai waktu untuk memperbaharui kontrak tersebut, sama ada ia boleh membantu Sam untuk mengembangkan lagi karier ataupun sebaliknya”.

Menurut Sam, selain dari rangka kerja yang disenaraikan, elemen penting yang akan ditekuninya sebelum memperbaharui kontrak adalah ‘ketelusan’ pihak pengurusan pada artis saat mengeluarkan kontrak tersebut.
“Sekiranya kontrak yang ditawarkan mempunyai isi kandungan yang baik untuk kedua-dua belah pihak, tak ada masalah untuk Sam kekal bersama MIG. Sama juga jika berlaku keadaan yang sebaliknya, tidak mustahil untuk Sam mengikut jejak langkah Yana. Tapi seperti yang Sam tegaskan sebelum ini, tawaran kontrak tersebut mestilah mampu mengembangkan bakat, menguji kreativiti dan menaikkan nama Sam sebagai seorang aktor”, ujar pelakon siri filem ‘Adnan Sempit’ ini.
Tambah Sam lagi, dia juga tidak kisah menerima kontrak yang menawarkan bayaran lebih murah, asalkan tawaran kontrak tersebut bagus untuk perjalanan kariernya.
"Andai kata saya mendapat tawaran dua tawaran kontrak, saya akan lebih berminat dengan kontrak yang menjanjikan perkembangan karier yang lebih bagus berbanding kontrak yang menjanjikan bayaran tinggi tetapi perkembangan karier saya terbatas," tegas Sam.
Pabila ditanya jika pemergian Yana meninggalkan MIG akan menjadi tanda berakhirnya era gandingan hero-heroin yang cukup serasi itu, Sam berkata bahawa segala isu berkenaan projek-projek lakonan yang mahu menggandingkan mereka di masa hadapan, pasti boleh dibincangkan.
Sam menutup perbualan dengan kata-kata ini, “Sebagai sahabat akrab dan rakan sekerja, Sam harap agar ke mana saja hala tuju Yana selepas ini, akan tetap mendapat tempat di hati peminat dan perjalanan kariernya sentiasa dipermudahkan.