HERO Bollywood terkenal, Shahrukh Khan, 49, mengalami kecederaan serius sewaktu menjalani penggambaran filem baharunya, Happy New Year, baru-baru ini.
Mana tidaknya, walaupun aktor yang menjadi pujaan ramai wanita itu mengatakan kecederaan yang dialaminya sedikit sahaja, tetapi hakikatnya dia terpaksa menjalani pembedahan gara-gara malang yang tidak berbau itu.
Meski menyatakan dirinya baik-baik saja, tetapi faktanya Shahrukh terpaksa menjalani pembedahan bagi mengatasi masalah kecederaan di bahagian bahu dan lengannya.
Malah ekoran kemalangan itu bahagian lututnya juga khabarnya perlu dilakukan pembedahan.
Menurut suatu sumber, sebelum pembedahan, pelakon filem hebat Dilwale Dulhania Le Jayenge itu masih memaksa dirinya untuk meneruskan penggambaran filem tersebut.
"Shahrukh hanya meminta ais daripada kru penggambaran bagi mengubati lukanya.
"Dia juga telah menjalani rawatan fisioterapi untuk mengubati bahagian bahu dan lututnya, tetapi doktor menyarankannya untuk melakukan pembedahan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini kelak," kata sumber itu.
Semua musibah tersebut terjadi gara-gara sebuah pintu hotel tempat penggambaran Happy New Year itu telah menimpa ke atas pelakon kacak terbabit.
Dia juga mengalami luka pada bahagian-bahagian badan semasa dia diperlukan untuk mengulangi adegan membuka sebuah pintu yang mana ia akhirnya terlepas daripada pegangan lantas menimpa ke atasnya.
Biarpun terdapat gambar-gambar yang menunjukkan hanyalah luka-luka kecil di bahagian tangan kirinya, namun setelah dijalankan pemeriksaan ternyata tulang lengan kirinya telah retak.
Ekoran insiden itu, doktor menyarankan kepadanya agar berehat.
"Bahu pelakon ini retak dan ototnya tergeliat. Oleh kerana itu, doktor juga menasihatinya agar berehat sehingga tiga minggu," ujar sumber yang enggan mendedahkan identitinya itu lagi.
Gambar anak ketiga terdedah
Tidak cukup dengan kisahnya yang cedera gara-gara dihempap daun pintu, kisah-kisah tentang anggota keluarga Shahrukh juga tidak terkecuali daripada menjadi bualan ramai peminat.
Ia antaranya tentang gambar dan identiti anaknya, AbRam. Setelah sekian lama menyembunyikan gambar serta identiti anaknya daripada khalayak, akhirnya anak ketiga Shahrukh Khan dapat dilihat juga walaupun tidak secara terang-terangan.
Gambar anak ketiganya iaitu AbRam diambil oleh paparazi dari jauh melalui beranda rumahnya ketika sedang diasuh oleh pengasuh.
Menurut suatu sumber, Shahrukh menolak untuk menyiarkan gambar anaknya kerana mahu AbRam membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain.
"Kelahiran AbRam menjadi kontroversi di India tidak lama dulu. Shahrukh Khan turut dituduh melakukan program memilih jantina bayi, namun dia menafikan dakwaan tersebut. Dia menyatakan kalau AbRam lahir dalam keadaan tidak cukup bulan, ia boleh menyebabkan keadaan kesihatan bayi itu kurang baik," ungkap sumber itu.
Justeru, berdasarkan gambar-gambar yang diambil secara curi itu kelihatan anak kecil itu cukup baik sekali keadaannya.