Siti Nordiana
Jauh di sudut hatinya menyesali apa yang berlaku dalam rumah tangga sehingga gagal mempertahankan mahligai dibina. Malah, tidak terlintas di fikiran untuk menyimpan rasa dendam terhadap insan yang sudah meruntuhkan kebahagiaan sekeluarga.
Sebaliknya, Siti Nordiana menganggap apa yang berlaku itu sebagai suratan takdir. Beliau menjadikan apa yang terjadi sebagai pengajaran dalam mendewasakan dirinya. Walaupun terluka, namun, perasaan sedih itu sudah lama dilontar jauh daripada hidupnya selepas kematian bekas suaminya, Faizal Yusop, tiga tahun lalu. Ketika pemergian Faizal, mereka sudah tidak lagi bergelar suami isteri.
Masih mengharap ada sinar kebahagiaan bersama anak tunggal kesayangannya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang berusia enam tahun, penyanyi yang mesra disapa Nana ini sedang mencari jejaka yang sudi menerimanya yang berstatus janda anak satu.
Tumpu pada anak
Bukan kecewa atau takut untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua, sebaliknya, Siti Nordiana masih belum menemui lelaki yang boleh membimbingnya dalam soal rumah tangga dan agama serta menjadi bapa kepada anaknya.