
ALBUM kedua Soo Wincci di Taiwan yang dirancang terbit pada April ini terpaksa ditangguhkan seketika ekoran kesibukannya.
TAIWAN boleh dikatakan sebagai lubuk rezeki terbaharu bagi Soo Wincci. Namanya semakin kukuh di pasaran negara itu sejak hadir ke sana lebih dua tahun lalu melalui album Happiness yang menelan belanja RM1 juta. Bertemu Wincci di sidang akhbar Konsert Muzika Ekstravaganza yang menghimpunkan artis-artis muda berbakat di Malaysia dan Singapura, sempat menceritakan perjalanan karier di Taiwan yang semakin kukuh hari ini. Kepada wartawan GARRET DAWUM, si jelita ini bercerita bahawa dia tetap tidak boleh mendabik dada, sebaliknya kekal bekerja keras untuk mempertahankan nama dan menggapai cita-cita besarnya.
Sudah lama di sini, bagaimana dengan perjalanan karier di Taiwan sekarang?
Sekarang saya dalam persiapan album antarabangsa kedua di sana. Sebelum ini saya ada beritahu, album itu akan keluar pada April tahun ini. Nampaknya ia tidak akan menjadi kenyataan.
Kenapa pula? Ada masalah ke?
Saya kerap pulang ke Malaysia untuk aktiviti seni di sini, jadi banyak kerja tertangguh di sana. Saya tidak nafikan, tindakan itu membuatkan saya ditegur pihak pengurusan di Taiwan kerana terlalu sibuk dengan urusan di sini.
Sampai kena tegur, tidakkah Wincci bimbang pihak pengurusan sudah tidak mempercayai lagi selepas ini?
Soal saya tidak dipercayai itu tidak wujud, hubungan dengan mereka masih baik. Lagipun, sebelum balik ke sini, saya sudah memaklumkan kepada pihak pengurusan di sana. Saya balik pun atas kebenaran mereka. Tetapi salah saya juga kerana sudah tiga bulan tidak balik ke Taiwan semula, sebab itu mereka rasa tidak senang. Saya seperti tidak fokus kepada pembikinan album kedua itu.
Boleh beritahu macam mana mahu selesaikan semua itu supaya tidak terus dimarahi syarikat di sana?
Sebab itu, saya telah mengambil langkah mengorbankan hal-hal peribadi saya. Kali ini, saya tidak bercuti untuk menyambut Tahun Baharu Cina kerana terlalu sibuk bekerja. Saya memilih untuk selesaikan dahulu semua kerja di Malaysia sebelum balik ke Taiwan semula pada 17 Februari ini.
Banyak kerja yang dibuat dalam satu-satu masa, tidak takut dilabel tamak?
Tamak ke? Saya tak fikir begitu. Saya buat semua itu ada sebabnya, ada alasan tersendiri. Bukan soal tamak atau sebaliknya. Setiap manusia sudah pasti mempunyai impian dan cita-cita sendiri. Kita kena bekerja keras untuk sukses dan saya melakukannya kerana usia saya masih muda.
Terlalu sibuk nampaknya, tahap kesihatan bagaimana? Apakah anda seorang yang peka terhadap kesihatan, selain kerja dan kerja?
Saya kena bersyukur kerana masih sihat. Tetapi, sejujurnya, saya memang selalu tidak tidur kerana terlalu sibuk. Kadang-kadang saya akan tidur dua jam sahaja sehari, sehinggakan pernah saya rasa hendak pengsan. Pernah juga suatu ketika kereta yang saya pandu hampir terbabas kerana terlalu mengantuk. Ia merbahaya.
Jadi, apa yang awak buat? Biarkan saja hidup macam ini?
Kena usaha juga untuk jaga kesihatan diri, saya mengutamakan pengambilan vitamin. Jika di lokasi penggambaran, saya akan menggunakan waktu terluang untuk tidur. Pihak produksi juga sedia maklum dengan semua 'kerenah' saya itu (ketawa).
Membuat pengakuan pernah membuat pinjaman peribadi sehingga RM1 juta bagi kerjaya seni, adakah Wincci rasa berbaloi dengan semua itu?
Melihat kepada perkembangan album saya, rasanya semua itu berbaloi. Selain itu, dua lagu saya iaitu Iâll Be Alright dan Not Brave juga berada dalam carta antarabangsa di Taiwan, saya sangat berbesar hati dengan semua itu. Pengorbanan saya mendapat balasan setimpal.
Soalan akhir, bagaimana pula hubungan dengan Iqram Dinzly?
Saya tidak ada apa hubungan istimewa dengan Iqram. Persahabatan kami telus dan saya belum bersedia untuk bercinta. Tidak dinafikan, saya selesa berkawan dengannya. Buat masa ini saya akan memberikan sepenuh fokus terhadap kerjaya.