Arja Lee gapai impian


ARJA Lee menhabiskan kos sebanyak RM30,000 untuk single sulungnya yang berjudul Cerita Pada Mereka.

SEBELUM namanya popular sebagai pelakon, Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, menyimpan impian untuk bergelar penyanyi.

Dia pernah mencuba nasib dengan menyertai beberapa program realiti nyanyian seperti Audition dan Gangstarz.

Malah sebanyak dua kali dia cuba menyertai Akademi Fantasia – pada musim keenam dan kesepuluh.

Namun, semangatnya tidak pernah luntur meskipun dia gagal menempatkan diri sehingga ke peringkat akhir.

Percaya pada rezeki yang tidak menyebelahinya ketika itu, Arja meneruskan perjalanan seninya di pentas teater.




Seterusnya, dia kini bergelar salah seorang pelakon lelaki popular sejak memegang watak Ramzul dalam drama bersiri Ariana Rose.

Impiannya untuk bergelar penyanyi bagaimanapun menjadi kenyataan apabila baru-baru ini, Arja melancarkan single berjudul Cerita Pada Mereka.

Lagu itu dicipta sepenuhnya oleh Keroz Nazri manakala muziknya disusun oleh Alfa Booty.

“Sebenarnya, impian terbesar saya adalah untuk bergelar penyanyi. Saya pernah cuba dalam beberapa program realiti tetapi tidak sampai ke peringkat akhir.

“Mungkin waktu itu saya masih belum cukup bagus dan bukan rezeki saya. Selepas Akademi Fantasia musim ke sepuluh saya tidak masuk mana-mana program realiti lagi.

“Selepas itu, saya bersedia untuk menjadi penyanyi dan menerbitkan sendiri lagu hasil pendapatan daripada lakonan,” katanya yang berhabis wang sebanyak RM30,000 untuk rakaman lagu Cerita Pada Mereka.

Tambah Arja, dia bukannya kecewa selepas menyertainya pelbagai program realiti sehingga memaksanya menerbitkan sendiri lagu untuk bergelar penyanyi.

Sebaliknya, selepas drama Ariana Rose popular dan melonjakkan namanya, dia merasakan kini adalah waktu yang tepat untuknya melancarkan single tersebut.

“Bukanlah sebab saya kecewa sehingga terpaksa keluarkan duit poket sendiri untuk jadi penyanyi tetapi sudah sampai masanya.

“Kebetulan, rezeki dalam lakonan lebih banyak membolehkan saya mengumpul wang untuk merakamkan lagu. Waktunya juga sesuai untuk lancarkan single kerana drama Ariana Rose baru sahaja tamat dan saya telah berjaya mengumpul ramai peminat baharu,” ujarnya.


Arja Lee ini tidak akan meninggalkan dunia lakonan meskipun gigih mengejar impian untuk bergelar penyanyi.

Rapat dengan Shima Anuar

Meskipun sudah bergelar penyanyi, tegas pelakon drama Misiku Kuza itu, dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan.

“Penyanyi Salamiah Hassan pernah bercakap kepada saya, untuk menjadi penyanyi yang bagus saya harus tinggalkan dunia lakonan kerana menyanyi perlu banyak rehat untuk menjaga suara.

“Namun, buat masa sekarang rezeki lakonan saya lebih banyak dan orang pun mengenali saya sebagai pelakon.

“Tidak mungkin untuk saya tinggalkan dunia lakonan walaupun saya akan aktif sebagai penyanyi pada masa hadapan,” jelasnya yang mengakui mempunyai hubungan rapat dengan pelakon baharu, Shima Anuar.

Melihat imej yang lengkap dengan tuksedo ketika majlis pelancaran single Cerita Pada Mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, penampilan Arja tidak ubah seperti penyanyi lelaki tersohor, Anuar Zain.

Bukan itu sahaja, lagu Cerita Pada Mereka juga seakan-akan kedengaran seperti lagu yang biasa didendangkan adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.

Anuar Zain

Menjawab persoalan itu, Arja mengakui dia merupakan salah seorang peminat kepada Anuar Zain, bagaimanapun tidak adil untuknya disamakan seperti penyanyi itu menerusi sebuah lagu single sahaja.

“Saya tidak mahu jadi klon Anuar Zain, memang saya peminat dia dan selalu menyanyikan lagunya apabila mendapat undangan nyanyian.

“Mungkin disebabkan usia saya yang sudah capai angka 30 tahun dan wajah maskulin menyebabkan orang melihat saya ingin menjadi seperti Anuar Zain.

“Sebagai penyanyi saya ada identiti saya sendiri, saya harap pihak media dan orang ramai lebih terbuka dalam menerima muzik saya,” ulasnya.

Bercakap tentang perjalanan kerjayanya, Arja bersyukur selepas drama Ariana Rose, jadualnya sudah penuh sehingga hujung tahun ini.

“Alhamdulillah, sekarang orang sudah mula kenali siapa Arja Lee dan perjalanan kerjaya lebih mudah. Saya mula daripada bawah dan apa yang saya kecapi hari ini saya akan guna sebaik mungkin untuk membantu keluarga,” balasnya.
Previous Post Next Post