Farahdhiya Sudah jadi nenek


SETELAH hampir empat tahun tidak menjejakkan kaki ke tanah kelahiran ibunya, Farahdhiya baru-baru ini berkongsi pengalaman berada di England selama tiga minggu. Tidak menolak percutian kali ini lebih kepada untuk meluangkan masa bersama keluarga, Farahdhiya juga turut berkongsi momen indah sepanjang berada di sana.

Berdarah kacukan Melayu-Inggeris, menurut Farahdhiya Mohd. Amin, 29, walaupun keluarga sebelah ibunya mengamalkan budaya yang jauh berbeza, namun itu tidak bermakna ada perbezaan buat mereka.

"Setelah hampir empat tahun tidak kembali ke sana, akhirnya penghujung tahun lalu saya bercuti hampir tiga minggu.

"Selain menghabiskan masa bersama keluarga, saya juga sempat bersiar-siar di kawasan sekitar sana," katanya.

Mengakui teruja melihat sambutan Krismas dan tahun baharu, bagi Farahdhiya itu merupakan antara keistimewaan yang diterimanya setiap kali pulang ke kampung halaman ibunya itu.




"Walaupun kami berbeza agama dan budaya, sambutan dari keluarga belah sana amat meriah.

"Memandangkan kehadiran saya kali ini serentak dengan sambutan Krismas serta tahun baharu jadi saya berpeluang untuk bertemu dengan lebih ramai ahli keluarga ibu saya yang lain. Apa yang lebih mengejutkan, saya juga sudah menjadi seorang nenek," katanya ketawa.

Berkongsi serba sedikit mengenai pengalamannya di sana bagi Farahdhiya antara perkara penting yang terus diamalkan keluarganya adalah sifat saling hormat menghormati. Turut memuji masakan yang dihidangkan Farahdhiya juga mengakui merasa bertuah untuk dilahirkan dalam keluarga yang berbeza budaya.

"Ibu saya selalunya akan berada di sana hampir 9 hingga 12 bulan, ialah mungkin perasaannya agak berbeza dengan saya yang lebih kepada bercuti. Walaupun kami jarang ke sana, namun semangat kekeluargaan itu tidak pernah luntur.

"Bagi saya ini merupakan antara keistimewaan yang saya rasa untuk dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai dua budaya yang berbeza. Jujurnya Malaysia sebenarnya lebih dekat dengan saya," katanya tidak berselindung.

Tidak melepaskan peluang untuk turut melawat kawasan sekitar Portsmouth, menurut Farahdhiya selain menghabiskan masa bersama keluarga, dia turut tidak melepaskan peluang ke London bertemu rakan-rakannya.

"Keluarga saya berada di Portsmouth, sebenarnya ibu saya terlebih dahulu pulang ke sana sebelum saya menyusul.

"Selama tiga minggu itu saya juga turut menghabiskan masa di London, kalau menaiki kereta api hanya mengambil masa sejam 40 minit sahaja," katanya.

Bercerita mengenai Boxing Day, menurut Farahdhiya sama seperti penduduk di sana dia juga sempat merasai kegilaan membeli belah pada hari tersebut. Memilih minyak wangi dan kasut sebagai barangan pilihan, Faradhiya bagaimanapun menolak menghabiskan sejumlah wang untuk mendapatkan barangan pilihannya itu.

"Boxing Day adalah hari di mana kedai-kedai di sana menyediakan potongan harga yang hebat untuk setiap barangan. Memang menjadi kebiasaan tarikh 26 Disember iaitu sehari selepas sambutan Krismas. Kalau ikutkan memang murah dari harga sebenar.

"Memang sudah jadi kesukaan saya untuk memiliki minyak wangi dan kasut, sepanjang berada di sana sahaja hampir 10 botol minyak wangi yang saya beli. Jujurnya tidaklah terlalu mahal, apa yang saya dapatkan itu lebih kepada kepuasan diri," katanya.
Previous Post Next Post