Hanez mahu tarik diri, penerbit mahu Hanez


BARISAN pelakon teater Projek Kahwin dijangka akan memulakan latihan pada bila-bila masa.

BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang mungkin dialami oleh pelakon putih melepak, Hanez Suraya. Setelah dihambat dengan kontroversi serta pelbagai tohmahan oleh orang awam, kariernya dalam bidang lakonan pula dikatakan mulai goyah.

Baru-baru ini, nama Hanez didakwa mungkin akan digugurkan daripada produksi teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada bulan Jun depan.

Selain itu, Shah Iskandar, pelakon yang turut sama membintangi teater tersebut pula melahirkan rasa bimbang jika kontroversi yang melanda Hanez akan menjejaskan jualan tiket pementasan itu.

Terpanggil untuk mendapatkan kepastian, Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, cuba untuk dihubungi oleh Kosmo!, namun dia enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan tersebut.




“Maaf ya, saya tidak mahu memberikan sebarang komen,” jawabnya ringkas menerusi pesanan WhatsApp.

Dalam pada itu, penerbit teater tersebut, Shawn Amir, 27, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang perancangan untuk menggugurkan Hanez sebagai bintang utama teater berkenaan.

Setakat ini, kata Shawn, hubungan antara pihak produksi dan Hanez masih dalam keadaan baik tanpa mengalami sebarang masalah. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Shawn.

ARTISMELETOP!: Adakah dakwaan mengenai pengguguran nama Hanez daripada barisan pelakon pementasan teater Projek Kahwin benar?

SHAWN: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Jika benar nama Hanez telah digugurkan, mana buktinya? Lagipun, kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa melalui proses perbincangan terlebih dahulu.

Jadi, bagaimana hubungan anda dengan Hanez setakat ini?

Hubungan syarikat produksi dan Hanez masih dalam keadaan baik. Dari segi komitmen, dia tidak pernah gagal untuk memenuhi undangan promosi mahupun hadir ke sidang akhbar yang dijalankan.

Adakah perkara ini merenggangkan hubungan anda berdua?

Pada pendapat saya, dakwaan sebegini memang boleh menjejaskan hubungan kami.

Apakah respons yang diberi oleh Hanez mengenai perkara ini?

Sejujurnya, dia ada meluahkan perasaannya kepada saya. Katanya, dia mahu menarik diri daripada pementasan teater ini jika penglibatannya memberikan sebarang masalah kepada pihak produksi.

Apakah nasihat anda kepadanya?

Saya memberitahu Hanez supaya jangan membuat keputusan terburu-buru. Lagipun, sepanjang bekerjasama dengannya, dia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada saya. Pihak Istana Budaya juga tidak mempunyai masalah dengannya jika dia mahu terus terlibat dalam pementasan ini. Namun, jika dia nekad mahu mengundurkan diri, kami sudah mempunyai pelan kedua.

Adakah anda akan meneruskan pementasan teater ini?

Kami masih dalam proses perbincangan dan jika terdapat sebarang perubahan, kami akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan perkara tersebut.

Bagaimana pula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shah Iskandar? Adakah kenyataan tersebut bakal menjejaskan perjalanan teater?

Itu merupakan pandangan logik Shah terhadap apa yang berlaku sekarang. Jika dia menafikan kontroversi itu tidak mengganggu penjualan tiket, orang ramai akan mempersoalkan pula tentang kenyataannya itu. Bagi saya, sebagai individu normal, apa yang yang dinyatakan oleh Shah adalah pendapat peribadinya sahaja.

Boleh ceritakan perkembangan terkini teater Projek Kahwin?

Teater ini sudah berjalan sebanyak 30 hingga 40 peratus tetapi sesi latihan masih belum bermula.

ARTISMELETOP dah agak perkara ini akan berlaku, sebab ramai yang sukakan Hanez Suaraya maka peminat-peminat teater memboikot terus teater ini. Kesian Hanez hehhe
Previous Post Next Post