KANAN: Selepas tiga tahun dalam industri hiburan, Forteen yakin untuk menjayakan konsert solo mereka.
GENAP usia tiga tahun Forteen berkelana dalam industri hiburan tempatan dan kini sudah mahu membikin konsert sendiri.
Ada yang beranggapan bahawa kumpulan yang bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Music Sdn. Bhd. belum cukup matang untuk mengadakan sebuah konsert.
Malah, ada juga yang melihat Forteen yang dianggotai oleh Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Saiful Ridzuan Abd. Hamid (Ariz), Mohd. Arif Ameerais Azhar (Ameerais), dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue) itu tidak mampu menyanyi secara live.
Menjawab persepsi tersebut, kata Ameerais yang mewakili kumpulannya, Konsert Kita 20Forteen yang akan berlangsung pada 29 Mac depan di KL Live, Kuala Lumpur sekali gus menangkis dakwaan tersebut.
“Menerusi album debut kami berjudul Kita yang telah dilancarkan bulan Disember lalu, setiap daripada kami diberikan peluang untuk menjadi vokalis utama setiap lagu.
“Konsert ini juga secara tidak langsung untuk membuktikan kami boleh menyanyi live dan menunjukkan bakat kami yang sedia ada.
“Malah, cara ini merupakan satu penghargaan kepada peminat kami yang selama ini tidak putus-putus menyokong Forteen,” katanya di majlis sidang akhbar Konsert Kita 20Forteen di Redbox, Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun, ketika majlis sidang akhbar yang berlangsung baru-baru ini, salah seorang anggota kumpulan tersebut, Izzue Islam gagal hadir sama.
Menjawab situasi tersebut, kata One, ketidakhadiran Izzue tidak menjejaskan acara yang terbabit dan berjanji akan terlibat dengan rangka promosi konsert itu pada masa akan datang.
“Jadual Izzue diuruskan oleh KRU Music dan kebetulan dia ada urusan lain pada hari yang sama dengan majlis berlangsung. Tapi dia akan terlibat sama dalam konsert pada 29 Mac nanti.
IZZUE gagal hadir ketika majlis sidang akhbar pelancaran Konsert Kita 20Forteen, bagaimanapun situasi itu tidak menjejaskan kelancaran majlis.
“Lagipun, sidang akhbar ini untuk promosi awal dan masih tetap berjalan lancar walau ketiadaannya. Kami memberi dan menerima situasi ini dan insya-Allah dia akan memberikan komitmen selepas ini,” katanya.
Konsert Kita 20Forteen kebetulan akan berlangsung pada hari yang sama dengan Twin Towers Alive 2014 yang meletakkan barisan penghibur antarabangsa seperti Christina Aguilera, Rain dan Craig David.
Tidak khuatir akan persaingan peminat sama ada untuk memilih acara yang bertindan pada tarikh yang sama, kata Ariz, Konsert Kita 20Forteen dijangka mampu menarik peminat tersendiri.
“Sejak awal lagi kami memang bercadang untuk mengadakan konsert pada waktu petang dan bukannya kerana bimbang persaingan daripada konsert yang menampilkan bintang antarabangsa.
“Malah kami yakin konsert sulung itu akan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat yang kebanyakan terdiri daripada golongan remaja,” tambahnya penuh yakin.
Forteen akan menyanyikan 15 buah lagu sepanjang konsert yang berlangsung selama dua jam itu. Malah, kumpulan itu akan menyanyikan semula beberapa buah lagu daripada kumpulan lama dalam bentuk medley dan akustik.
Konsert itu akan diserikan dengan persembahan artis di bawah naungan KRU Music Sdn. Bhd. seperti Hazury, #tag, Qasri, Fitri Hakim dan Zia Bella.
Tiket berharga RM80 boleh dibeli menerusi United Studios di talian 03-83201888, KL Live 03-21622570 dan Red Box Ria 03-2694 7788.