Soo Wincci Mahu Takluk China


PEMINAT di Taiwan lebih mengenali lagu Wincci berbanding dengan dirinya.

DIA bukan sekadar artis atau bekas Ratu Cantik Malaysia yang hanya ingin sentiasa tampil cantik di hadapan peminat. Sebaliknya, Soo Wincci betah menerima kesan lebam dan melecet di tangan dan kakinya demi menjayakan persembahan luar biasa sempena pencalonannya dalam Global Chinese Hits Award pada 5 April depan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penyanyi yang sedang membina nama di Taiwan itu kini giat membuat latihan dengan menggunakan gegelung bertali sejak setahun lalu.

Lebih mengejutkan, ungkap wanita tinggi lampai yang selesa disapa Wincci itu, dia bakal menyanyi sambil melakukan beberapa aksi dengan menggunakan gegelung yang akan diangkat setinggi dua tingkat rumah itu tanpa sebarang tali keselamatan!

"Saya ingin mencabar diri untuk membuat sebuah persembahan yang luar biasa.

"Persembahan saya nanti tidak akan menggunakan tali keselamatan. Saya cuma akan membeli insurans sahaja," jelasnya jika terjadi apa-apa yang tidak diingini ketika menjayakan persembahan tersebut.

Tercalon Top 20 menerusi lagu Not Brave bersama enam negara lain iaitu China, Taiwan, Hong Kong, Kanada dan Singapura, Wincci mengakui latihan tersebut sangat menyakitkan, namun dia tidak kisah asalkan dapat memberikan persembahan terbaik nanti.




Hang Li Po

Selepas dua lagunya I'll Be Alright dan Not Brave berjaya menduduki carta muzik di Taiwan, Wincci kini berhasrat untuk menakluk China bagi mengembangkan karier nyanyiannya pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, kata penyanyi berusia 29 tahun itu, sebelum ke China dia perlu menguatkan namanya dahulu di Taiwan. Ini kerana ramai yang mengenali lagunya tetapi tidak mengenali dirinya.

Wincci yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun Ajai baru-baru ini juga memberitahu, dia bakal terlibat dalam sebuah drama besar yang menggandingkan dirinya dengan pelakon popular Adi Putra dan Erra Fazira.

"Sepatutnya saya tidak mahu pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini kerana ingin menyiapkan album kedua antarabangsa saya dan ingin melakukan promosi. Namun, saya telah ditawarkan dengan watak besar iaitu sebagai Puteri Hang Li Po untuk sebuah drama bersiri yang berkaitan takhta. Jadi, saya pulang ke Malaysia untuk menjalani penggambaran drama itu.

"Saya akan berlakon bersama beberapa pelakon terkenal seperti Adi Putra dan Erra Fazira. Walaupun drama itu hanya enam episod tetapi penggambaran akan berlangsung selama sebulan bermula 25 Mac ini kerana ia melibatkan babak-babak rumit dan besar," bicaranya yang selepas itu akan pulang semula ke Taiwan dan mungkin tidak akan balik ke Malaysia dalam satu tempoh masa yang lama.

Wincci bertindak begitu kerana dua lagunya iaitu I'll Be Alright dan Not Brave berjaya menduduki carta muzik di Taiwan. Malah, di YouTube lagu tersebut berjaya mendapat tontonan sehingga dua juta penonton.

Orang tak kenal Wincci

Malangnya, walaupun lagu-lagunya popular di Taiwan, luah Wincci, orang di sana masih tidak mengenali dirinya.

"Disebabkan itu pihak pengurusan di Taiwan meminta saya tidak kerap balik ke Malaysia. Mereka mahu saya mengadakan konsert jelajah di sekolah-sekolah dan beberapa lokasi lain untuk mempromosikan diri saya di Taiwan," jelasnya yang menyasarkan selama setengah tahun lagi untuk benar-benar dikenali di Taiwan.

Selepas itu, kata Wincci, dia akan melebarkan karier nyanyiannya ke China. Bagaimanapun, hatinya gundah-gulana, takut peminat-peminatnya di Malaysia, terutamanya peminat Melayu akan melupakannya.

"Saya risau selepas tidak dapat balik ke Malaysia dalam satu tempoh yang lama, peminat di sini (Malaysia), terutamanya Melayu akan melupakan saya.

"Disebabkan itu, saya melakukan banyak perkara di Malaysia seperti berlakon, mengeluarkan buku dan album Melayu serta muncul di radio sebelum pulang semula ke Taiwan," ujarnya yang tidak mampu berkongsi gambar mengenai kariernya di sana kerana terikat dengan syarat ketat pengurusan di Taiwan.

Menyambung bicara lagi, kata Wincci, pengurusan muzik di Taiwan tidak membenarkannya mengambil gambar berkaitan pembikinan album terbaharunya dan memuat naik di laman sosial.

Namun begitu, Wincci telah berbincang semula dengan pihak pengurusan di sana supaya tidak terlampau ekstrem dalam soal tersebut dan berharap mereka mengizinkannya memuat naik beberapa keping gambar proses kerjanya di sana tanpa memaparkan proses akhir album tersebut.

"Peminat-peminat saya di sini juga hendak tahu mengenai perkembangan terbaharu saya. Saya tetap akan memuat naik gambar-gambar mengenai perjalanan karier saya di sana tetapi bukan secara menyeluruh," lantunnya.

Disoal kenapa memilih Taiwan dahulu untuk mencipta nama tetapi tidak China, Wincci ada jawapannya.

"Melalui pemerhatian saya, kebanyakan penyanyi popular akan membina nama di Taiwan terlebih dahulu seperti Jay Chou dan Lee Hom. Formulanya, kalau kita sudah berjaya di Taiwan, peminat di China akan mudah menerima anda dan seterusnya anda mudah membina nama di sana.

"Kalau saya pergi ke China dahulu, saya mungkin hanya dikenali di Shanghai tetapi orang-orang di Beijing tidak akan mengenali saya. Sebabnya, China sangat mengehadkan media sosial seperti YouTube dan Facebook.

Jadi, sukar untuk mereka mengenali anda kecuali anda sudah membina nama di Taiwan. China sangat memandang artis keluaran Taiwan," ujarnya seraya menutup perbualannya pada malam itu.

JOM kita layan video klip wincci

Soo Wincci - I'll Be Alright (Guo De Qu)




Previous Post Next Post