Kecoh baru-baru ini hos tampan, Awal Ashaari didakwa tidak lagi mengendalikan program hiburan gosip, Melodi selepas kontraknya tamat serta merta.
Keputusan tersebut dibuat berikutan aktor kelahiran Kuala Lumpur ini mempunyai masalah disiplin sehingga membuatkan pihak produksi enggan menggunakan khidmatnya lagi.
Namun begitu, Awal yang ditemui ketika majlis pelancaran program realiti The Band terbitan Astro menafikan dakwaan tersebut dan mengakui baru sahaja memperbaharui kontrak setahun untuk bersama progam tersebut.
“Saya masih bersama program tersebut dan jika betul saya bermasalah sudah pasti pihak penerbit akan menghubungi saya dan cerita tentang masalah yang mereka hadapi.
“Memang saya ada dengan khabar angin tentang perkara ini. Ada juga yang kata pihak produksi jalankan diuji bakat dengan beberapa selebriti untuk ganti tempat saya, namun pihak produksi nafikan perkara tersebut dan buktinya mereka tawar kontrak baru kepada saya,” jelas Awal.
Awal diminta mengulas lebih lanjut tentang perkara ini selepas desas-desus mengatakan gosip tersebut datang daripada seorang artis yang mungkin menyimpan hasrat untuk mengganti tempat Awal yang sememangnya menjadi rebutan sejak dahulu lagi.
Jelas Awal tentang masalah disiplin, ianya mungkin juga cerita yang cuba disebarkan kerana sikap tidak puas hati selain untuk memburuk-burukkan imejnya.
“Biarkan apa pun gosip yang ingin disebarkan. Mulut manusia kita tidak boleh nak tutup. Alhamdulillah rezeki masih di pihak saya. Saya beri komitmen terhadap tanggungjawab yang diberikan kepada saya,” tambah awal lagi.
Awal kini diumumkan sebagai hos ‘Konsert The Band’ dan ‘X The Band’ manakala penyampai ERA fm, Shac sebagai hos untuk diari ‘Whazzup The Band’ yang memaparkan aktiviti harian peserta.