BARISAN 12 peserta bersama sifu masing-masing yang akan bersaing dalam BMB 2 untuk merebut gelaran juara.
PROGRAM realiti Bintang Mencari Bintang (BMB) musim kedua terbitan TV3 yang akan membuka tirainya hari ini menampilkan sedikit kelainan berbanding dengan saingan musim terdahulu.
Jika dalam saingan yang pertama dahulu, program tersebut pernah menampilkan sebuah kumpulan wanita sebagai peserta dan melantik Raja Azura sebagai tenaga pengajar atau sifu, kali ini semua peserta didominasi oleh lelaki.
Penerbit Eksekutif BMB 2, Muhamad Sufian Isa berkata, keadaan tersebut berlaku disebabkan tidak ramai wanita yang mendaftar sebagai peserta sepanjang uji bakat dilakukan di enam buah lokasi sebelum.
“Sebenarnya ada wanita yang datang menghadiri uji bakat tetapi jumlahnya tidaklah terlalu ramai. Selain itu, mereka juga tidak memenuhi kriteria yang diinginkan untuk dipilih sebagai peserta.
“Berkenaan dengan tiada sifu wanita pula, kami berasakan enam sifu lelaki yang telah dipilih ini merupakan antara terbaik dan yakin dengan kemampuan mereka untuk membimbing para peserta,” ujarnya ketika ditemui semasa pelancaran BMB 2 di SACC Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Antara barisan sifu yang dikekalkan untuk musim terbaharu program tersebut ialah Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki dan Faizal Ismail manakala tiga lagi sifu iaitu Ebby Yus, Adlin Aman Ramlie dan Saiful Apek baru kali pertama diberi tanggungjawab membimbing peserta.
Selain itu, seramai 12 peserta telah dipilih untuk bersaing dalam BMB 2 menerusi pemilihan yang dibuat di enam buah lokasi seperti Sarawak, Kedah, Perak, Sabah, Johor dan Kuala Lumpur.
Barisan peserta yang terpilih pula seperti kumpulan Ooooo dan Mmmmm (Afdlin Shauki), Sumbu dan PK (Ebby Yus), Tokan dan GBOB (Faizal Ismail), Ehah dan Taktih (Harun Salim Bachik), Lampu dan 2AZ (Saiful Apek) serta Kepoh dan Jebat (Adlin Aman Ramlie).
Berkenaan dengan pemilihan peserta yang dilihat rata-ratanya berpengalaman menjadi peserta dalam sebuah pertandingan komedi di sebuah stesen televisyen, Suffian menjelaskan, ia sepatutnya tidak perlu menjadi pertikaian kerana penyertaan BMB 2 terbuka kepada semua orang.
Ujarnya, apa yang menjadi keutamaan untuk dipilih sebagai peserta ialah berdasarkan kepada kreativiti dan persembahan yang ditampilkan semasa sesi uji bakat tanpa mengambil kira pengalaman yang dimiliki.
“Tidak dinafikan ada peserta yang pernah menyertai program lain dan tidak berjaya, lalu memilih untuk menyertai BMB 2 pula. Jadi, kami merasakan mereka ini berhak diberi peluang menampilkan bakat komedi yang dimiliki,” ujarnya.
Profesional
Selain memperkenalkan barisan peserta dan sifu, majlis tersebut turut memperkenalkan tiga orang barisan juri yang akan mengadili persembahan peserta setiap minggu iaitu Fauziah Ahmad Daud, A. R. Badul dan Ahmad Idham.
Sedikit mengejutkan tentang pemilihan A. R. Badul sebagai juri memandangkan hubungan adik-beradik yang terjalin antara dia dengan salah seorang sifu iaitu Adlin Aman Ramlie.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Adlin ketika ditemui menjelaskan, dia tidak berasa risau sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan tentang situasi berkenaan.
“Rasanya soal hubungan tidak perlu dibangkitkan kerana kami melakukan kerja secara profesional. Apabila bermulanya saingan nanti saya yakin penilaian yang diberikan sama rata dengan peserta lain.
“Jadi, tidak perlulah perkara ini dibangkitkan atau diperbesarkan kerana dalam sesebuah pertandingan sebegini, profesionalisme paling menjadi keutamaan dan tidak akan ada sebarang sikap berat sebelah,” tegasnya.
BMB 2 akan ditayangkan secara langsung dua kali seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Ahad pukul 9 malam sepanjang bulan April. Bagi bulan Mei, ia akan disiarkan setiap hari Ahad.