Filem Rio 2 menghiburkan!



TERBAIK! Itulah yang dapat disimpulkan penulis selepas menyaksikan tayangan pratonton filem Rio 2 oleh syarikat terbitannya, 20th Century Fox baru-baru ini.

Filem animasi muzikal yang penuh keceriaan dan menyeronokkan sesuai untuk tontonan seisi keluarga diarahkan oleh Carlos Saldanha, sudah menemui penonton bermula 10 April lalu.

Mendapat kutipan lebih USD429 juta (RM1.38 juta) hasil tayangan filem pertamanya pada 2011, kali ini penonton akan kembali mengikuti kehidupan Blu dan Jewel bersama anak mereka.

Blu dan Jewel mengambil keputusan untuk meninggalkan kehidupan mereka di Bandar Rio dan cuba belajar menjalani kehidupan sebagai seekor burung di Hutan Hujan Tropika Amazon.

Perjalanan mereka hingga ke Amazon telah membawa kepada penemuan pelbagai haiwan liar dengan pelbagai karakter dan keindahan alam semula jadi.

Dengan permulaan ringkas yang menceritakan perkembangan setiap karakter seperti Blu, Jewel, Pedro, Luiz dan Nico di awal filem, penonton seterusnya 'di bawa mengikuti' perjalanan Blu bersama keluarga dan rakan-rakannya ke Amazon.

Paling menarik pada pandangan mata penulis (yang pastinya akan berjaya menarik perhatian kanak-kanak) adalah panorama indah sepanjang perjalanan sehinggalah tibanya mereka di Amazon.

Pendek kata, jika anda pernah menonton filem Rio sebelum ini, anda pasti tahu bagaimana olahan warna yang disuntik dalam filem ini untuk membuatkan ia kelihatan meriah.

Lebih-lebih lagi apabila Jewel dan Blu dibawa ke kawanan mereka, penonton pasti akan kagum dengan kecantikan lukisan sinematografi di dalam filem ini.

Apatah lagi, dengan teknik imej janaan komputer (CGI) dan ditonton pula dengan teknologi 3-D, memberikan kita kepuasan maksimum tatkala menonton filem ini.

Bahkan dengan jalan cerita yang mudah difahami, ia menjadikan filem Rio 2 sebuah filem yang santai dan sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Namun, bagi anda yang belum pernah menyaksikan Rio sebelum ini, anda barangkali akan sedikit keliru dengan kehadiran Nigel yang amat memusuhi Blu.

Biarpun ada sedikit imbas semula yang dimasukkan, namun belum cukup memberi pemahaman kepada penonton tentang mengapa dia begitu membenci Blu.





Sarat mesej berguna

Bukan itu sahaja, Rio 2 turut dilatari dengan mesej-mesej yang perlu diterapkan dalam kehidupan kita seperti sikap menghormati orang yang lebih tua, sifat saling menyayangi, memaafkan dan mengutamakan keluarga tidak kira apa jua yang berlaku.

Bukan hanya terhad dengan mesej-mesej yang mungkin dianggap klise, filem ini juga memberi kesedaran tentang kehidupan kita iaitu, sehebat mana kita berada, asal usul jangan sesekali dilupakan.

Bahkan filem ini juga menekankan betapa penting untuk kita menjaga dan menyuntik rasa cinta pada alam sekitar dan perlu untuk sentiasa menjaga flora dan fauna agar tidak pupus ditelan masa.




Gandingan mantap

Selain itu, antara perkara menarik dalam filem ini adalah penglibatan bintang-bintang kelas A bersama beberapa penyanyi seperti Anne Hathaway, Jesse Eisenberg, Jemaine Clement, will.i.am, Bruno Mars, Tracy Morgan, George Lopez, dan Leslie Mann.

Bersama Rodrigo Santoro, Bebel Gilberto, Jake T. Austin dan Jamie Foxx menjadi paduan suara yang cukup menarik. Tentu sahaja, penonton akan sentiasa bergelak ketawa menyaksikan keletah dan lawak bersahaja yang ditampilkan haiwan-haiwan ini bersama watak masing-masing.

Jadi bagi anda yang masih tercari-cari filem menarik untuk ditonton hujung minggu ini, jangan lupa menyaksikan Rio 2 di pawagam.

Previous Post Next Post