KUALA LUMPUR - Industri perfileman tempatan perlu ditransformasi untuk bersaing dengan industri filem luar negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.
Beliau berkata walaupun berpuas hati dengan kuantiti filem yang diterbitkansetiap tahun, namun penilaian kritikal terhadap kutipan dan kualiti filem tempatan perlu dibuat setiap tahun oleh persatuan atau badan bertanggungjawab seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
"Kalau tidak ada satu mekanisme dalaman yang boleh membuat pengukuran tentang kejayaan filem pada satu tempoh waktu, maka kita akan lihat nanti industri itu berkembang, tetapi pada masa yang sama ia tidak dapat bersaing dengan industri luar negara.
"Kita rasa sedih kerana kita belanja modal yang besar, tapi bila kita raih kutipan, ia tidak pun mencapai 10 peratus daripada keseluruhan pengeluaran (kos)," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian juga sedia berbincang dengan pemain industri untuk mencari kaedah paling berkesan bagi menangani isu yang membelenggu industri itu.
Sebanyak 22 syarikat yang menghasilkan 34 buah filem menerima insentif ITFC berjumlah RM4,198,220.65 bagi suku pertama tahun ini.
MIG Pictures Sdn Bhd menerima RM1,324,208.40 menerusi 10 filem terbitannya, antaranya Highland Tower, Ustaz Mu Tunggu Aku Datang dan Longkai.
Tayangan Unggul Sdn Bhd pula menerima RM536,906.01 bagi dua buah filemberjudul Bikers Kental dan Penanggal, manakala Skop Productions Sdn Bhd menerima RM444,260.25 menerusi filem KL Gangster 2.
Insentif tersebut adalah antara sumbangan kerajaan untuk membantu penerbit dan pengeluar filem tempatan bagi mengembangkan lagi industri pembikinan filem negara. - Bernama