Kaka makin menyerlah


Kaka makin menyerlah

BUKAN pertama kali, nampaknya bakat penyanyi yang popular dengan lagu Infiniti Cinta, Kaka Azraf dalam bidang teater telah terbukti dan sekali lagi diberi peluang membintangi teater Projek Kahwin di samping Hanez Suraya dan Kilafairy.

Akui sangat teruja, Kaka yang membawa watak sebagai teman rapat kepada dua aktres itu bagaimanapun berharap dapat meraih lebih pengalaman dan ilmu.

“Alhamdulillah, rezeki saya masih ada selepas membintangi teater arahan Raja Azri sebelum ini.




“Saya berharap ada pengalaman baru yang dapat saya timba untuk mencapai tahap seterusnya dalam bidang lakonan teater ini dan dapat menunjukkan bakat yang ada selain tidak ulangi kesalahan yang sama seperti teater yang lalu,” katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang bakal beraksi Hanez Suraya dan Kilafairy, Kaka berkata, dia tidak ada sebarang masalah kerana kenal rapat dengan kedua-dua pelakon itu.

Menurut Kaka, walaupun Hanez mempunyai kontroversi namun ia tidak menjejaskan hubungan profesional antara mereka.

"Saya tidak ada sebarang masalah walaupun akan bergandingan dengan dua teraju utama itu. Bagi saya ia satu pengalaman. Lagipun saya sudah mengenali perwatakan mereka.

Bagi saya ia satu cabaran untuk beri yang terbaik menerusi teater ini.

"Mengenai isu kontroversi Hanez, saya tak rasa ia akan mengganggu persembahan teater serta penjualan tiket," katanya.


Tak lupa nyanyian

Dalam perkembangan lain, pemilik nama Nor Atiqa Noor Azraff, 24, ini mengakui masih muda dan memiliki peluang memperluaskan bakatnya. Namun, itu bukan bererti dia melupakan bidang nyanyian.

“Saya mahu lebih berjaya dalam dua bidang iaitu nyanyian dan lakonan. Bagi saya, untuk menjadi artis yang berjaya perlu kerja keras lagi, maklumlah, saya juga masih muda,” katanya.

Selepas kolaborasi bersama Zizan Razak menerusi lagu Infiniti Cinta dan Bawaku Pergi, Kaka bakal tampil dengan single solo pertamanya berjudul Terpulanglah.

“Single yang bakal keluar itu merupakan lagu pertama yang akan saya bawa secara solo.

"Lagu solo ini lebih menyerlahkan lagi vokal dan teknik nyanyian saya kepada R&B dan Soul," katanya yang masih mengacarakan program berbentuk travelog di TV9.
Previous Post Next Post