'Mata-Mata' Singkap Kisah Perintis Polis Wanita



Sinonim dengan stesen yang mengangkat martabat golongan wanita, ntv7 mendedikasikan sebuah lagi rancangan buat golongan itu dalam drama bersiri berbahasa Inggeris khas Singapura berjudul 'Mata-Mata'.

Drama ini yang mengisahkan pasukan pegawai polis wanita pertama yang ditubuhkan ketika pasca perang pada tahun 1950an hingga 1960an di Singapura yang dipanggil sebagai mata-mata.

'Mata-Mata' diinspirasikan daripada kisah kehidupan seorang Assistant Superintendent wanita dalam pasukan pada tahun 1961, Mary Quintal nee Voon. Kisah menarik ini diterajui oleh tiga watak utamanya yang dibawa oleh pelakon Elizabeth Lee (Cheryl Wee), Hani Rahmat (Nadiah M Din), Tan Siew Lan (Daniella Sya) selain bergandingan dengan Lim Seng Hock (Daren Tan), Henry Ridley (Jason Godfrey) dan Yoke Lien (Aileen Tan).




Drama ini bermula dengan watak Elizabeth Lee, gadis berusia 19 tahun yang baru sahaja menamatkan Cambridge O’ Levels yang kemudiannya dipaksa ibunya, Yoke Lien untuk membuat keputusan sama ada untuk bekerja atau terus berkahwin. Memang menjadi kebiasaan gadis era itu berkahwin dalam usia muda namun Elizabeth, gadis yang sukakan cabaran memilih untuk menyertai pasukan polis. Turut sama menyertai keputusannya itu adalah dua rakan wanitanya, Tan Siew Lan dan Hani Rahmat yang bertekad untuk berjaya di dalam lapangan itu walaupun tidak mendapat sokongan keluarga.

Namun, setelah berjaya menempatkan diri di dalam pasukan tersebut, mereka kecewa kerana mereka diberikan tugasan dalam menyediakan kertas kerja dan tugasan pejabat berbanding menyelesaikan masalah jenayah di kawasan mereka. Namun di sebalik kekecewaan itu mereka berazam untuk mendapatkan kepercayaan pihak atasan bahawa mereka juga bersedia untuk berhadapan dengan cabaran fizikal dalam mengendalikan tugasan di lapangan.

Walaubagaimanapun, semuanya tidak semudah yang disangkakan. Elizabeth yang bersifat vokal dan idealistik menyebabkan perbalahan dalaman di antara pasukannya manakala Siew Lan pula mengalami konflik apabila salah seorang ahli keluarganya mula terlibat dengan sekumpulan geng jahat.

Drama ini pastinya bakal memperlihatkan usaha pihak polis pada era itu dalam membendung jenayah. Antara kes yang bakal mereka tangani adalah masalah yang diwujudkan oleh dua buah kumpulan jenayah yang bergeseran iaitu kumpulan Ang Huay dan The Red Butterfly. Malah rusuhan juga terjadi apabila seorang kanak-kanak wanita yang dibesarkan keluarga Melayu diarahkan untuk kembali kepada ahli keluarga kandungnya yang sebenar.

Elizabeth dengan pantas sentiasa cuba menyelesaikan setiap kes dan usahanya itu mula dilihat dan mendapat perhatian oleh pegawai atasan. Manakala Hani masih tersekat dengan tugasan pejabat dan mula memikirkan cabaran sebenar sebagai pegawai polis.

Konflik percintaan juga tidak lari daripada drama ini apabila salah seorang geng Ang Huay, Seng Hock jatuh cinta pada Elizabeth namun kerana perbezaan dunia dan latar belakang, mereka saling menyembunyikan perasaan.

Kisah hidup Siew Lan pula jauh berbeza sebelum menyertai pasukan itu. Siew Lan yang hidup bersama adik lelakinya mula menghadapi pelbagai kesukaran hidup selepas kematian ayahnya. Lebih memburukkan apabila kerana janjinya untuk berkahwin dengan rakan ayahnya menyebabkan dia lebih sengsara kerana penderaan fizikal dan mental suaminya. Ternyata andaian mendiang ayahnya berbeza kerana walaupun berkahwin dengan pemilik restoran yang disangkakan mampu membawa kebahagiaan.

Siew Lan semakin terseksa apabila sebagai isteri ketiga, di dihalau keluar oleh madu-madunya selepas kematian suami. Namun kekecewaan itu menyebabkan dia lebih bersemangat dalam meneruskan hidupnya. Peluang menyertai pasukan polis tidak akan dipersiakan Siew Lan untuk kebaikan adik dan dirinya.

Sementara itu kerjaya Elizabeth semakin berkembang manakala Hani pula bergolak dalam membuktikan kepada ayahnya bahawa dia mampu menjadi pegawai polis yang berkredibiliti tinggi. Tetapi prestasi hani jika dibandingkan dengan Elizabeth jauh berbeza. Walupun bersahabat baik sejak dari dulu lagi, hubungan persahabatan mereka semakin teruji. Apatah lagi apabila Elizabeth ditawarkan untuk mengikuti latihan di akademi Polis London walaupun tawaran itu pada mulanya diberikan kepada Hani. Adakah pergeseran diantara dua orang sahabat ini bakal terlerai. Adakah tiga orang polis wanita ini berjaya menjadi pegawai polis yang disegani?

Saksikan siri yang padat dengan aksi serta cabaran pasukan polis wanita di Singapura dalam Mata-Mata di Saluran Ceria Anda, ntv7 setiap hari Isnin jam 8.30 malam. Mata-Mata mula bersiaran sejak 31 Mac 2014.
Previous Post Next Post