MENGAKUI gementar menghitung hari bergelar Raja Sehari, hanya satu yang diingini Misha Omar pada hari persandingannya mahu majlisnya itu berlangsung dengan kegembiraan.
Masakan tidak, beberapa episod duka yang dilalui sebelum ini seperti kehilangan bapa tersayang sehingga dia menangguhkan hari pernikahan selain dituduh pernah berkahwin dan menyandang status janda memberikan duka yang masih terkesan hingga hari ini.
Lantaran itu kata Misha, dia memutuskan untuk lebih bersikap telus berhubung perincian tentang perkahwinannya yang bakal berlangsung dalam tempoh tiga minggu lagi.
Menafikan seorang yang bersikap defensif namun kata Misha, berkongsi butiran tentang hari besarnya itu adalah cara yang terbaik untuk mengelakkan fitnah di kemudian hari.
Bakal diwalikan oleh abang sulung, Mohd. Rose Omar kata Misha, majlis pernikahannya itu bakal berlangsung pukul 9 pagi manakala resepsi pada sebelah malamnya di Hotel Renaissance Kota Bahru.
"Seseorang itu boleh menjadi berani apabila dia berada di jalan yang benar. Tidak perlu takut kerana kebenaran pasti berpihak kepada dirinya," tegas Misha pada pertemuan baru-baru ini.
Enggan mengambil pusing kata-kata liar yang dilemparkan kepadanya selepas ini kata Misha, dia juga perlu bangkit menyahut cabaran segelintir pihak yang mendakwa lebih 'mengenalinya'.
Mengakui bingung apabila ada pihak luar yang lebih mengetahui kisah peribadinya berbanding diri sendiri kata Misha, itu yang cukup membimbangkan dirinya.
"Kalau perasan pada hari ini ada pihak tertentu yang mendakwa punya hubungan persaudaraan dengan artis yang menjadi bahan gosip dan 'penyakit' sebegini yang merosakkan masyarakat," katanya yang bakal menamatkan zaman bujang bersama jejaka pilihan yang juga seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rossly pada 2 Mei depan.
Sambil memberitahu bahawa persiapan untuk majlis perkahwinan itu hampir siap sepenuhnya, Misha juga mengakui perasaannya kini sedang bercampur baur.
"Perasaannya memang sedikit berlainan. Ada sedikit emosi," tambahnya.