KINI bidang pengacaraan sudah sebati dengan jiwa Nurulhana.
MUNGKIN benar seperti kata kebanyakan orang bahawa minat dalam sesuatu bidang itu boleh mengatasi segala-galanya. Malah, kerja yang berat pun akan menjadi mudah kalau ada minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang itu.
Itu adalah pengalaman yang turut dilalui oleh pengacara televisyen generasi baharu, Nurulhana Ismail dalam mengharungi kerjayanya dalam bidang penyiaran. Dia kini semakin serasi dengan kerjaya itu sejak dua tahun yang lalu.
Pengacara yang lebih mesra dengan panggilan Hana ini bukan sahaja telah bertemu dengan kerjaya yang diminatinya itu. Malah, dia juga sanggup melupakan perkara-perkara lain demi memberi tumpuan kepada bidang tersebut.
Menurut pengacara saluran Astro Awani ini, dia sanggup mengetepikan pengajiannya di peringkat sarjana dalam jurusan Pengajaran Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UitM) baru-baru ini.
Saya memang ada ijazah dalam bidang TESL yang mana selepas tamat belajar di UiTM saya bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Johor Bahru. Saya mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris termasuklah sains dan matematik.
Tetapi kerana minat yang amat mendalam dalam bidang pengacaraan televisyen saya telah berhenti kerja sebagai guru selepas mendapat kerja sepenuh masa di Astro Awani," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Hana, pengalaman menjadi guru sekolah selama hampir dua tahun ternyata tidak sama dengan kepuasan yang dirasainya selepas menceburi dunia penyiaran yang amat luas serta lebih mencabar mental dan fizikal.
Katanya, meskipun baru dua tahun berkecimpung sebagai pembaca berita dan pengacara rancangan U Wartawan di Astro Awani, dia sudah pun dapat merasakan bahawa ia adalah bidang yang serasi dengan dirinya.
Ini adalah bidang yang sesuai dengan saya. Sebab itu, saya sanggup berhenti daripada sambung belajar kerana mahu memberi tumpuan kepada bidang penyiaran yang amat luas skopnya berbanding dunia perguruan.
Kalau dulu semasa jadi cikgu persekitaran saya hanya di sekolah bersama murid-murid dan guru-guru yang ada di situ sahaja. Sedangkan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan saya berjumpa orang yang berbeza setiap hari.
Ini kerana, di Astro Awani saya bukan sahaja diberi peluang mengacarakan rancangan bual bicara, U Wartawan tetapi juga pernah menjadi pembaca berita dan wartawan penyiaran yang turun padang mencari berita," ujarnya.